PETALING JAYA: Perdagangan rokok seludup dalam negara dijangka melonjak kepada 61.7 peratus dengan saiz pasaran haram meningkat kepada RM8.7 bilion, apabila larangan jualan rokok dan vape ke atas individu lahir selepas 2005, dikuatkuasakan.
Menurut kajian yang dijalankan oleh The Green Zebra, Datametrics Research and Information Sdn. Bhd. (DARE), sebanyak 83 peratus rakyat Malaysia berpendapat, perdagangan rokok seludup akan meningkat pada kadar yang tinggi disebabkan larangan berkenaan.
Kajian bertajuk A Smoke-Free Malaysia itu mengambil kira kumpulan penduduk berusia 15 hingga 19 tahun yang mewakili 7.7 peratus daripada pengguna tembakau dan jelasnya, dasar penamat generasi (GEG) akan menyaksikan peningkatan perdagangan haram daripada 58.4 peratus pada Mac 2022.
Mengulas dapatan kajian itu, Pengarah Urusan DARE, Pankaj Kumar berkata, larangan penjualan rokok tidak akan berhasil dalam mengurangkan kelaziman merokok.
“Langkah itu bukan sahaja akan membawa kepada peningkatan dalam pasaran rokok haram kepada RM8.7 bilion malah menguntungkan sindiket jenayah.
“Malaysia sememangnya tidak mempunyai dinamik pasaran yang sama seperti negara seperti New Zealand atau Singapura, yang mempunyai kelaziman merokok yang lebih rendah dan insiden perdagangan haram masing-masing kurang daripada 11 dan 14 peratus.
“Bagaimanapun, di negara seperti Malaysia di mana kelaziman merokok kita melebihi 20 peratus, dan pasaran tembakau seludup hampir 60 peratus, GEG bukanlah pilihan yang berdaya maju.
“Walaupun di negara seperti New Zealand, sebelum pengenalan dasar GEG, negara itu menjalankan kempen besar-besaran dalam mengurangkan kelaziman merokok dengan membantu perokok menghentikan tabiat itu melalui strategi Pengurangan Kemudaratan Tembakau (THR), yang telah didokumentasi lengkap untuk rujukan semua.
“Hasilnya, negara tersebut mengalami penurunan terbesar dalam kejadian merokok, daripada 11.9 peratus pada 2020 kepada 9.4 peratus 2021,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Kumar, dalam tinjauan pasaran yang sama, dua pertiga daripada responden mengakui bahawa vape telah membantu mereka sama ada berhenti merokok sepenuhnya atau mengurangkan penggunaan rokok.
Justeru katanya, Malaysia mesti menggunakan strategi yang betul, termasuk peraturan, untuk mencapai piawaian yang ditetapkan oleh negara seperti New Zealand atau Singapura dalam mengurangkan kelaziman merokok dan kejadian perdagangan haram.
Ujarnya, produk mesti dikawal bagi memastikan ia selamat dan terjamin, manakala pengguna dilindungi dan diberi kesedaran sepenuhnya mengenai faktor risiko.
“Mengurangkan penggunaan rokok dengan dasar awam THR yang berkesan membolehkan kerajaan mengurangkan kos rawatan penyakit dan penyakit yang disebabkan oleh rokok. Malaysia mempunyai begitu banyak keuntungan dengan mengawal selia vape di negara ini,” katanya.
DARE adalah Badan Pemikir atau Institut Dasar yang berpangkalan di Malaysia yang komited untuk melaksanakan penyelidikan dan advokasi bagi sektor utama yang kritikal kepada ekonomi negara.
Ditubuhkan pada 2021, DARE berusaha untuk melaksanakan penyelidikan, analisis dan cadangan dasar yang bebas, berani, berkesan dan boleh diambil tindakan.
Pasukan itu terdiri daripada pakar daripada pelbagai latar belakang, dengan tujuan yang sama untuk menyokong penambahbaikan dasar awam untuk pembangunan negara yang mampan. – UTUSAN










