Modenas perkenal e-kad keahlian baharu

Modenas perkenal e-kad keahlian baharu 

MODENAS menawarkan pelbagai faedah kepada ahlinya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas) telah memperkenalkan e-kad keahlian baharu Modenas yang direka khusus untuk memberikan lebih tawaran, faedah serta memenuhi keperluan gaya hidup para pelanggan.

Antara faedah-faedah yang bakal dinikmati oleh ahli baharu ialah, E-baucar pembelian alat ganti tulen sehingga RM15 yang boleh ditebus di eShop Modenas dan diskaun pembelian alat ganti tulen sehingga 15 peratus di setiap pusat servis milik Modenas.

Selain itu, pelanggan juga boleh menikmati e-baucar bernilai RM10 jika berjaya membawa rakan mendaftar sebagai ahli baharu, Kelab Keahlian Modenas yang boleh ditebus di eShop Modenas, diskaun e-baucar khas pada hari kelahiran dan percuma bantuan tundaan 24 jam untuk kerosakan di jalan raya dalam lingkungan 100km radius pergi balik dari pusat wakil servis Modenas berdekatan (sehingga empat kali bantuan setahun).

Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan berkata, pihaknya sentiasa peka dan prihatin terhadap pelanggan.

“Dengan adanya program keahlian ini, serta tawaran menarik yang diberikan, kami meletakkan sasaran seramai 1,000 ahli baharu dalam suku kedua tahun ini.

“Dengan peningkatan jualan motorsikal Modenas yang semakin rancak dipasaran serta rakan kongsi baharu, Kawasaki, tidak mustahil bagi syarikat untuk mencapai sasaran,” katanya dalam kenyataan.

Terdapat caj sebanyak RM60 yang akan dikenakan untuk pendaftaran ahli baharu. Manakala, caj untuk pembaharuan keahlian pula adalah sebanyak RM40 setahun.

Bagi 80 ahli yang terawal memperbaharui keahlian, mereka akan berpeluang untuk mendapatkan baucar ais krim Baskin Robbins bernilai RM34 dan bagi 225 pembaharuan seterusnya akan mendapati baucar Single Jr.Scoop bernilai RM8.

Ahli yang sedia ada kini boleh memperbaharui atau memohon e-kad mereka dengan kandungan format baharu yang lebih mudah berbanding kad lama di mana-mana Pusat Servis Modenas seluruh negara atau daftar secara atas talian di laman sesawang www.modenas.my. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN