Minyak mentah boleh jatuh ke paras AS$65 setong - Citi

Minyak mentah boleh jatuh ke paras AS$65 setong – Citi

HARGA minyak mentah Brent berpotensi kekal dalam lingkungan AS$70 (RM289.91) hingga AS$75 (RM310.61) setong sekiranya laluan Selat Hormuz kekal stabil dan aktiviti eksport minyak global kembali pulih. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Citigroup Inc. memberi amaran, minyak mentah boleh merudum ke paras AS$65 (RM287.17) setong menjelang akhir tahun ini dan susut kepada AS$45 (RM198.81) menjelang akhir 2023 jika kemelesetan ekonomi yang melumpuhkan permintaan, melanda.

Tinjauan itu berdasarkan tiada sebarang campur tangan oleh pengeluar OPEC+ dan penurunan dalam pelaburan minyak, kata penganalisis termasuk Francesco Martoccia dan Ed Morse dalam satu laporan.

Lapor Bloomberg, minyak telah melonjak tahun ini berikutan pencerobohan Ukraine, dan bank-bank kini cuba merangka laluana ke 2023 apabila bank-bank pusat menaikkan kadar faedah dan risiko kemelesetan meningkat.

Tinjauan Citi membandingkan pasaran tenaga semasa dengan krisis tahun 1970-an. Pada masa ini, pakar ekonomi bank itu tidak menjangkakan Amerika Syarikat (AS) akan mengalami kemelesetan.

“Untuk minyak, bukti sejarah menunjukkan bahawa permintaan minyak menjadi negatif hanya dalam kemelesetan global yang paling teruk. Tetapi harga minyak jatuh dalam semua kemelesetan kepada kira-kira kos marginalz,” kata penganalisis Citi dalam satu nota.

Dalam perkembangan lain, niaga hadapan minyak mentah Brent melanjutkan kenaikan semalam apabila mogok di Norway dijangka mengganggu pengeluaran minyak dan gas, sekali gus menimbulkan kebimbangan bekalan yang ketat.

Niaga hadapan minyak mentah Brent telah meningkat 82 sen atau 0.7 peratus kepada AS$114.32 (RM505.07) setong selepas kenaikan 2.4 peratus pada Isnin.

Minyak mentah Amerika Syarikat (AS) West Texas Intermediate (WTI) naik AS$2.58 atau 2.4 peratus kepada AS$111.01 setong daripada penutupan Jumaat lalu. Tiada perubahan harga untuk WTI pada Isnin kerana cuti umum AS 4 Julai.

Semalam, pekerja luar pesisir Norway memulakan mogok yang akan mengurangkan pengeluaran minyak dan gas, menurut kesatuan yang mengetuai tindakan perindustrian itu kepada Reuters.

Mogok itu dijangka mengurangkan pengeluaran minyak dan gas sebanyak 89,000 tong bersamaan minyak sehari (boepd), di mana pengeluaran gas membentuk 27,500 boepd, kata Equinor.

Pengeluaran minyak akan kurang sebanyak 130,000 tong sehari mulai Rabu, bersamaan dengan sekitar 6.5 peratus pengeluaran Norway, menurut pengiraan Reuters.

“Minyak mentah meningkat apabila tumpuan pelabur kembali kepada tanda-tanda sesak dalam pasaran,” kata penganalisis ANZ dalam satu nota.

Secara keseluruhan, prospek permintaan juga berada dalam kebimbangan pelabur di tengah-tengah pengetatan yang meluas dalam keadaan kewangan global apabila Rizab Persekutuan AS menentang inflasi yang berleluasa dengan kenaikan kadar yang pesat.

Kenaikan kadar faedah juga berlaku di Australia dan di Korea Selatan apabila pihak berkuasa cuba mengurangkan inflasi yang melonjak.

Di Korea Selatan, inflasi pada Jun mencecah paras tertinggi hampir 24 tahun, menambah kebimbangan pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan permintaan minyak.

“Minyak masih bergelut untuk keluar daripada kemelesetan semasa kerana pasaran beralih daripada inflasi kepada kemelesetan ekonomi,” kata Stephen Innes dari Pengurusan Aset SPI dalam satu nota. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×