(ANALISIS)
KEJATUHAN berterusan harga sawit pastinya `mencemaskan’ banyak pihak berkepentingan, terutama para pekebun kecil. Selepas menikmati kenaikan harga yang tinggi sejak Januari 2021 hingga Mei 2022 lalu, harga komoditi itu terus merosot.
Harga minyak sawit mentah (MSM) sebenarnya menunjukkan tren kejatuhan bermula Jun 2022. Harganya jatuh sebanyak 11.2 peratus kepada RM6,106.00 satu tan berbanding RM6,873.00 satu tan pada Mei 2022.
Harga harian MSM juga terus merosot kepada RM3,934.00 satu tan pada 6 Julai lalu atau penurunan sebanyak 23.0 peratus berbanding RM4,838.50 satu tan pada 1 Julai 2022.
Dan kelmarin, Godrej International Ltd. mengunjurkan harga minyak sawit akan terus jatuh ke parah RM3,000 menjelang September ini.
Kali terakhir sawit diniagakan rendah ialah 14 Jun 2021 pada RM3,471.50. Sawit pernah merekodkan harga tertinggi dalam sejarah apabila diniagakan lebih RM8,000 setan metrik pada 2 Mac 2022, iaitu RM8,076.50 setan metrik.
Namun, konflik berterusan di Ukraine, peningkatan semula kes Covid-19 di China dan kebanyakan negara serta kenaikan inflasi, menyebabkan permintaan terhadap sawit mula berkurangan.
Keadaan diburukkan apabila negara pengeluar utama sawit iaitu Indonesia dan Malaysia terus merekodkan peningkatan dalam inventori komoditi itu.
Malaysia misalnya, stok minyak sawit mentah (MSM) negara meningkat sebanyak 8.8 peratus kepada 1.66 juta tan pada Jun lalu, daripada 1.52 juta tan bulan sebelumnya.
Menurut Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, peningkatan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) sebanyak 8.3 peratus kepada 1.55 juta tan, kejatuhan eksport minyak sawit sebanyak 13.3 peratus kepada 1.19 juta tan dan peningkatan import minyak sawit sebanyak 2.5 peratus kepada 59,195 tan pada Jun 2022 telah menyumbang kepada peningkatan stok akhir minyak sawit pada bulan tersebut.
“Stok akhir minyak sawit pada Jun 2022 adalah 2.5 peratus lebih tinggi berbanding dengan stok akhir yang dicatatkan pada Jun 2021 iaitu 1.61 juta tan.
“Peningkatan stok itu adalah disebabkan oleh stok awal tahun 2022 sebanyak 0.35 juta tan atau 27.6 peratus lebih tinggi berbanding stok awal tahun 2021,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Indonesia pula dilaporkan mahu mengeksport lebih 6 juta tan metrik stok sawitnya, untuk mengurangkan bekalan dalam negara, seterusnya mengelak kerugian.
Dengan permintaan yang rendah dan bekalan pula berlebihan, ia pastinya terus menurunkan harga minyak sawit di pasaran global.
Bagi tempoh Januari hingga November 2021, nilai eksport minyak sawit dan derivatif Malaysia berjumlah RM91.4 bilion, peningkatan 40 peratus daripada RM65.3 bilion tempoh sama tahun sebelumnya.
Sehubungan itu, kenyataan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin bahawa China sedia meningkatkan eksport, bolehlah meredakan seketika kebimbangan.
Namun, untuk jangka panjang, agak sukar diramal, mengambil kira keadaan ekonomi dan situasi kesihatan di China, yang mungkin melaksanakan semula sekatan pergerakan di beberapa daerah dalam usahanya membendung Covid-19.
Selain itu, `amaran’ Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Citi Group mengenai kemungkinan berlaku kemelesetan ekonomi pada tahun hadapan, turut membayangi masa hadapan minyak sawit.
Justeru, kerajaan perlu meningkatkan inovasi dalam industri, selain mencari lokasi import baharu untuk memastikan industri terus berdaya tahan.
Masalah tenaga kerja juga mesti ditangani. Negara tidak boleh selamanya bergantung kepada tenaga kerja asing untuk membangunkan sektor perladangan. Kemajuan teknologi dan inovasi perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
Jika tidak, industri sawit negara bakal berdepan masa hadapan yang malap apabila buah ada, namun tidak dapat dipetik. Minyak pula ada, tetapi tidak boleh dieksport. – UTUSAN










