PETALING JAYA: Jumlah pergerakan penumpang menerusi rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports mencatatkan peningkatan lebih enam kali ganda kepada 20.25 juta penumpang dalam separuh pertama 2022 berbanding tempoh sama tahun lalu.
Prestasi menggalakkan itu disokong oleh pengaktifan semula operasi syarikat penerbangan asing dan laluan antarabangsa.
Bagi Jun lalu, jumlah pergerakan trafik penumpang Malaysia berjumlah 4.54 juta penumpang, membentuk 63 peratus daripada jumlah pergerakan penumpang kumpulan sebanyak 7.21 juta termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (SAW).
Malaysia merekodkan sejumlah 1.29 juta penumpang trafik antarabangsa manakala trafik domestik sebanyak 3.24 juta penumpang.
Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, trafik antarabangsa di Malaysia bertambah baik dan ini dapat dilihat daripada prestasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KUL) bulan lepas.
“Jumlah trafik antarabangsa KUL melepasi paras satu juta penumpang buat kali pertama sejak penularan Covid-19. Ia merekodkan sebanyak 1.09 juta penumpang antarabangsa yang merupakan peningkatan 21 peratus daripada Mei.
“Lapangan terbang antarabangsa lain dalam rangkaian tempatan kami juga telah mencatatkan peningkatan jumlah penumpang antara 35 hingga 66 peratus pada Jun jika dibandingkan dengan bulan sebelumnya dan kami yakin akan bertambah baik dengan penyambungan semula lebih banyak syarikat penerbangan yang beroperasi di lapangan terbang kami,” katanya dalam kenyataan.
Bulan lalu, Malaysia Airports mengalu-alukan empat syarikat penerbangan asing yang memulakan semula operasi di Malaysia termasuk Citilink (QG) dan Lion Air (JT) laluan Medan-Kuala Namu (KNO)–Pulau Pinang (PEN), dan Air Busan (BX) dan Jeju Air (7C) laluan Seoul-Incheon (INC)–Kota Kinabalu (BKI).
Laluan INC-BKI ialah laluan baharu untuk BX. Selain daripada penyambungan syarikat penerbangan asing, kumpulan juga menyaksikan permulaan semula laluan pra-pandemik.
Batik Air (OD) memulakan semula laluan Subang (SZB)–Batam (BTH) dan KUL–Denpasar (DPS).
Pada masa sama, Firefly (FY) mengembalikan semula operasi SZB–Seletar (XSP). Sementara itu, Pakistan International Airlines (PK) memperkenalkan laluan baharu menghubungkan Lahore (LHE) ke Kuala Lumpur (KUL).
Operasi Turki kumpulan kekal konsisten apabila merekodkan sejumlah 2.68 juta pergerakan penumpang, peningkatan sebanyak 3.0 peratus daripada Mei 2022. – UTUSAN










