Liberty Mutual, Kumpulan AmBank meterai SPA ambil alih AmGeneral

Liberty Mutual Insurance, Kumpulan AmBank meterai perjanjian jual beli saham AmGeneral

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Liberty Insurance Berhad (LIB) telah memeterai perjanjian jual beli saham (SPA) untuk mengambil alih AmGeneral Insurance Berhad (AmGeneral).

Menurut LIB, Setakat hari ini, AmGeneral dimiliki oleh AmBank Group (AmBank) sebanyak 51 peratus dan 49 peratus lagi dimiliki oleh Insurance Australia Group (IAG).

“Apabila perjanjian telah termeterai, yang mana tertakluk kepada syarat-syarat penutupan yang ditetapkan, LIB bakal mengambil alih 100 peratus saham daripada AmGeneral, dan hasil jualan daripada saham AmBank adalah dalam bentuk tunai dan syer bersyarat, yang bakal menjadikan AmBank sebagai pemegang saham sebanyak 30 peratus daripada perniagaan LIB dan AmGeneral,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, sebagai sebahagian daripada transaksi ini, entiti yang akan digabungkan akan memeterai satu kerjasama bankasurans eksklusif dengan AmBank selama 20 tahun untuk mengedarkan produk insurans am.

Operasi AmGeneral dan LIB bakal digabungkan secara rasmi pada satu tarikh yang akan diumumkan kelak, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.

Pada 28 Jun lalu, LIB, sebuah syarikat subsidiari Liberty Mutual Insurance (Liberty), telah menerima kelulusan daripada Menteri Kewangan untuk mengambil alih AmGeneral Insurance Berhad (AmGeneral).

AmGeneral telah menawarkan perkhidmatan insurans di Malaysia dengan 1,400 orang kakitangan di 33 buah cawangan.

Ia merupakan sebuah syarikat insurans kenderaan bermotor yang menduduki tangga tiga teratas dengan perniagaan yang berkembang maju dengan rangkaian produk-produk tambahan.

Syarikat ini menawarkan produk insurans peribadi dan komersial di bawah jenama AmAssurance dan Kurnia melalui lebih daripada 6,000 ejen, broker, pengedar kereta, francais dan rakan niaga bersekutu, serta menerusi keupayaan langsung dan digital yang berkembang pesat.

Beribu pejabat di Kuala Lumpur, LIB disokong oleh 450 warga kerja dari 6 pejabat serantau dan 24 cawangan di seluruh negara.

Syarikat itu menawarkan produk insurans peribadi, komersial dan produk lain melalui saluran yang luas termasuk 2,000 ejen insurans, pemegang francais, pengedar kereta dan rakan bankasurans. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN