PETALING JAYA: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) akan terus meneroka peluang pelaburan baharu dan kerjasama di Türkiye untuk memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Türkiye.
Menurut Khazanah, komitmen untuk mengekalkan Turkiye sebagai destinasi pelaburan strategiknya telah dinyatakan semasa pertemuan antara wakil kanan Khazanah dan Türkiye Wealth Fund (TWF) di Istanbul, semalam.
Jelasnya, Khazanah adalah sebahagian daripada delegasi Malaysia ke Turkiye diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang dalam rangka lawatan rasmi 4-hari ke negara tersebut atas jemputan Presiden Türkiye, Recep Tayyip Erdogan.
Katanya, Ismail Sabri yang juga Pengerusi Khazanah, telah mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan TWF diketuai Ketua Pegawai Eksekutif dan Ahli Lembaga Pengarahnya, Salim Arda Ermut, bagi membincangkan peluang pelaburan dan kerjasama yang dapat membawa manfaat kepada kedua-dua negara.
Turut hadir, Pengarah Eksekutif Perkhidmatan Korporat dan Sokongan Khazanah, Datuk Mohamed Nasri Sallehuddin; Pengarah Pejabat Serantau Khazanah Turkiye (KTRO) Halil Ucarer Ahli Lembaga Pengarah TWF, Ahmet Burak Dağlıoğlu dan Ketua Pegawai Kewangan TWF, Mahmut Kayacık.
“Khazanah telah sekian lama bertapak di Türkiye menerusi pelaburan oleh syarikat-syarikat pelaburan miliknya dalam pelbagai industri yang mencecah kira-kira AS$2.7 bilion sejak 2008.
“Antara pelaburan utama termasuk dalam Acibadem Healthcare Group, salah sebuah penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta terbesar Türkiye, menerusi IHH Healthcare Berhad, serta Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen, salah sebuah lapangan terbang antarabangsa paling sibuk di Eropah, menerusi Malaysia Airports Holdings Berhad,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Khazanah, pihaknya telah menubuhkan KTRO pada 2013 sebagai platform strategik bagi memperkembangkan dan mengukuhkan lagi pelaburan serantau, hubungan dengan sektor awam dan swasta serta hubungan perniagaan di Türkiye, Asia Barat, Afrika, Asia Tengah dan Eropah.
Jelasnya, ditubuhkan pada 2016, TWF adalah cabang pelaburan strategik dan penyedia penyelesaian ekuiti Türkiye.
“TWF adalah dana pembangunan yang disokong aset yang bertumpu kepada pertumbuhan syarikat bawah portfolionya melalui program penciptaan nilai, pelaburan dalam sektor utama dan projek berwawasan untuk terus membangunkan ekonomi Türkiye. Portfolio TWF terdiri daripada 27 buah syarikat yang terlibat dalam tujuh industri serta pelbagai aset hartanah,” jelasnya.
Khazanah adalah dana kekayaan berdaulat negara yang diamanahkan untuk menyampaikan nilai mampan bagi rakyat Malaysia.
Selaras dengan strategi jangka panjang memajukan Malaysia, Khazanah menyasarkan untuk mencapai tujuannya dengan melabur dalam sektor pemangkin, mencipta nilai melalui pengawasan aktif, meningkatkan kehadiran globalnya, serta membina kapasiti dan komuniti yang bertenaga untuk manfaat rakyat Malaysia. – UTUSAN










