PETALING JAYA: Kapal persiaran Spectrum of The Sea yang dimiliki oleh Royal Caribbean Cruise Ltd. (RCCL) akan berlabuh di Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT), Pulau Pinang esok (2 Julai 2022) seawal pukul 8 pagi.
Kapal persiaran tersebut membawa 3,239 penumpang dan 1,577 anak kapal, pada awalnya dijadualkan berlabuh di Pulau Pinang 18 Jun 2022, namun tertangguh atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinanng (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng berkata, beliau berpuas hati dengan tahap persediaan yang dibuat bagi menerima kedatangan kapal berkenaan.
Beliau yakin, persinggahan kapal persiaran itu adalah persinggahan yang ditunggu-tunggu oleh pelbagai industri di Pulau Pinang.
“Saya percaya industri pelancongan serta industri hiliran yang terlibat dengan aktiviti pelancongan akan menikmati faedah dari persinggahan kapal ini.
“Persinggahan ini bukanlah merupakan persinggahan yang pertama dan terakhir. Persinggahan Spectrum of the Sea pada kali ini adalah merupakan titik tolak bagi persinggahan kapal-kapal persiaran antarabangsa yang lain
pada masa hadapan. Kapal Spectrum of the Sea sendiri akan berlabuh di Pulau Pinang dua kali seminggu,” katanya dalam kenyataan.
Teik Cheng turut menyatakan bahawa SPPP telah bersedia sepenuhnya dalam usaha memberi kerjasama dan sokongan yang padu terhadap ketibaan Spectrum of The Sea.
Beliau berharap, persinggahan Spectrum of the Sea akan membawa seribu kenangan manis kepada semua penumpang kapal persiaran dan menjurus kepada mereka untuk kembali berkunjung ke Pulau Pinang. – UTUSAN










