Jumlah trafik udara tumbuh 415.6 peratus

Jumlah trafik udara tumbuh 415.6 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah trafik penumpang udara bagi tiga bulan pertama tahun ini mencapai 8.7 juta orang, pertumbuhan sebanyak 415.6 peratus tahun ke tahun.

Menurut Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), pertumbuhan itu disebabkan kesan asas yang rendah (low base effect) di mana trafik penumpang pada suku pertama 2021 berjumlah 1.7 juta.

Jelasnya, perkembangan itu menunjukkan industri penerbangan sedang mengalami pemulihan secara beransur-ansur tetapi stabil.

“Pertumbuhan trafik penumpang udara ini terutamanya didorong oleh penumpang udara domestik yang menyumbang sebanyak 88.8 peratus daripada jumlah trafik penumpang udara pada suku pertama 2022 (1S22).

“Sehingga Mei 2022, trafik penumpang udara Malaysia 2022 berjumlah 16.3 juta, menandakan pertumbuhan sebanyak 574.6 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2021. Pada Mei 2022 sahaja, trafik penumpang udara antarabangsa mencecah 1.0 juta buat kali pertama sejak Mac 2020,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kassim berkata, berikutan pelonggaran sekatan perjalanan di Malaysia, industri penerbangan semakin pulih daripada kesan pandemik, selaras dengan peningkatan jumlah trafik penumpang pada awal 2022.

Katanya, dengan pembukaan sempadan antarabangsa negara sejak April 2022, pemantauan Suruhanjaya menunjukkan bahawa peningkatan tersebut didorong oleh permintaan yang tertangguh terhadap penerbangan dan pelancongan.

“Suruhanjaya memahami bahawa orang ramai masih berhati-hati disebabkan konflik global serta ketidaktentuan ekonomi yang sedia ada. Mahupun begitu, Suruhanjaya tetap positif dan mengunjurkan bahawa sektor penerbangan akan terus pulih pada 2022 dengan pelaksanaan langkah-langkah yang sesuai,” katanya.

Dalam pada itu, MAVCOM turut melaporkan bahawa jumlah kargo mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.9 peratus tahun ke tahun pada 1S22, meningkat kepada 5.1 bilion dari segi Freight Tonne Kilometre (FTK) daripada 4.8 bilion FTK pada suku pertama 2021.

Pertumbuhan didorong oleh pengembalian semula kapasiti ruang kargo pesawat (belly cargo) berikutan penyambungan semula penerbangan antarabangsa secara beransur-ansur.

“Selain itu, pengembangan tersebut turut disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam industri e-dagang serta sektor elektrikal dan elektronik (E&E),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×