PETALING JAYA: Proton Holdings Berhad (Proton) mencatatkan jualan bulanan terbaik pada Jun sebanyak 14,787 unit, peningkatan 51 peratus berbanding Mei 2022.
Prestasi itu membolehkan Proton meningkatkan jumlah jualan separuh tahun pertama 2022 kepada 60,124 unit, peningkatan 3.9 peratus berbanding tahun lalu.
Jualan eksport Proton untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini turut tumbuh dengan pesat kepada 2,722 unit, peningkatan 81.2 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, dengan Jun sahaja sebanyak 636 unit berjaya dieksport.
Pencapaian itu sekali gus meletakkan Proton sebagai pengeksport utama dalam negara.
“Secara keseluruhan, Proton mengekalkan kedudukan di tangga kedua di dalam industri automotif dengan anggaran pegangan pasaran semasa 22.6 peratus. Manakala jumlah pegangan pasaran tahunan mencatatkan 18.2 peratus, penurunan 5.1 peratus berbanding enam bulan pertama tahun lepas. Jumlah Volum Industri (TIV) dianggarkan sebanyak 331,164 unit,” katanya dalam kenyataan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, Jun adalah bulan yang sibuk bagi industri automotif dengan kebanyakan jenama berusaha mengeluarkan sebanyak mungkin kenderaan bagi memenuhi permintaan pasaran.
Katanya, pengumuman bahawa insentif cukai jualan dan perkhidmatan (SST) berakhir pada 1 Julai juga mendorong tempahan apabila pelanggan bergegas mengambil kesempatan daripada penjimatan yang ditawarkan.
“Proton telah menerima lebih daripada 150,000 tempahan untuk enam bulan pertama tahun ini dan sekiranya ditambah kepada pesanan yang diterima pada 2021, kami perlu bekerja keras dalam memastikan penghantaran kenderaan dilakukan dengan secepat mungkin seterusnya memenuhi permintaan pelanggan.
“Kami bersyukur bahawa isu bekalan komponen dapat diselesaikan secara berperingkat, ia bukan sahaja dapat meningkatkan pengeluaran, tetapi juga memberi impak positif kepada rangkaian selepas jualan. Seperti yang dijanjikan, semua cawangan 3S/4S kami kini mempunyai stok tiga bulan bagi komponen bergerak pantas (FMP) dan ini direplikasi di gudang alat ganti kami.
“Isu bekalan bagi komponen yang lain juga sedang diselesaikan, dan kami berharap dapat memberikan tahap perkhidmatan selepas jualan yang lebih baik kepada pelanggan kami tidak lama lagi,” katanya.
Mengenai eksport, Roslan berkata, Saga terus mendahului dengan 1,602 unit, peningkatan 78 peratus, namun X70 dan X50 berkembang dengan lebih lancak.
Katanya, dengan 377 dan 100 unit dicapai pada Jun, kedua-dua model mencatatkan angka eksport terbaik dengan lebih banyak lagi akan dieksport untuk masa yang akan datang.
Bagi pasaran individu, Pakistan terus menjadi pasaran eksport terbesar dengan 1,770 unit bagi separuh pertama 2022, pertumbuhan 183 peratus berbanding separuh pertama 2021. Ia diikuti oleh Brunei dan Bangladesh dengan masing-masing sebanyak 203 dan 194 unit.
“Eksport adalah salah satu tunggak utama dalam memacu pertumbuhan masa depan Proton dan selari dengan komitmen kami kepada kerajaan untuk membantu membangunkan industri eksport automotif di Malaysia. Dengan penambahan pasaran baharu seperti Afrika Selatan ke dalam portfolio kami, kami menyasarkan volum eksport akan terus berkembang dan akan menyumbang lebih banyak jualan pada masa hadapan,” tambah beliau. – UTUSAN










