Jualan peralatan semikonduktor global bakal cecah AS$118 bilion

Jualan peralatan semikonduktor global bakal cecah AS$118 bilion

Permintaan untuk semikonduktor diunjur terus meningkat seiring pemulihan ekonomi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jualan global bagi jumlah peralatan pembuatan semikonduktor oleh pengeluar peralatan asal dijangka mencecah rekod AS$117.5 bilion (RM520.88 bilion) pada 2022, meningkat 14.7 peratus daripada paras tertinggi industri sebelumnya iaitu AS$102.5 bilion tahun lalu, seterusnya meningkat kepada AS$120.8 bilion pada 2023.

Dalam jangkaan jumlah peralatan semikonduktor pertengahan tahun – Perspektif pengeluar peralatan asli (OEM) oleh Peralatan dan Bahan Semikonduktor Antarabangsa (SEMI) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), kedua-dua segmen peralatan semikonduktor huluan dan hiliran dikatakan menyumbang kepada pengembangan pasaran.

SEMI berkata, segmen peralatan pembuatan wafer yang merangkumi pemprosesan wafer, kemudahan pembuatan, dan peralatan topeng diunjurkan berkembang 15.4 peratus kepada rekod industri baharu sebanyak AS$101 bilion pada 2022, diikuti peningkatan 3.2 peratus kepada AS$104.3 bilion pada 2023.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SEMI, Ajit Manocha berkata, sejajar dengan dorongan industri semikonduktor yang bersungguh-sungguh meningkat dan menaik taraf kapasiti, segmen peralatan pembuatan wafer bersedia untuk mencapai AS$100 bilion buat kali pertama pada 2022.

“Arah aliran sekular merentasi pelbagai pasaran, ditambah dengan pelaburan kukuh dalam infrastruktur digital menjana satu lagi rekod baharu,” katanya dalam kenyataan.

Persatuan itu berkata permintaan kukuh untuk memori dan storan terus menyumbang kepada perbelanjaan peralatan DRAM dan NAND tahun ini.

Segmen peralatan DRAM menerajui pengembangan pada 2022, dengan jangkaan pertumbuhan 8.0 peratus kepada AS$17.1 bilion.

Pasaran peralatan NAND diunjurkan berkembang 6.8 peratus kepada AS$21.1 bilion tahun ini. Perbelanjaan peralatan DRAM dan NAND masing-masing dijangka turun 7.7 dan 2.4 peratus pada 2023.

Selepas melonjak 86.5 peratus pada 2021, segmen peralatan pemasangan dan pembungkusan dijangka berkembang 8.2 peratus kepada AS$7.8 bilion pada 2022 dan turun 0.5 peratus kepada AS$7.7 bilion pada 2023.

Pasaran peralatan ujian semikonduktor diramalkan berkembang 12.1 peratus kepada AS$8.8 bilion pada 2022 dan 0.4 peratus lagi pada 2023 atas permintaan untuk aplikasi pengkomputeran berprestasi tinggi.

SEMI berkata di peringkat serantau, Taiwan, China dan Korea Selatan diunjurkan kekal sebagai tiga pembeli peralatan tertinggi pada 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×