PETALING JAYA: Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menyemak naik unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) kenderaan bagi tahun ini kepada 630,000 unit berbanding unjuran awal sebanyak 600,000 unit yang ditetapkan awal tahun ini.
Presidennya, Datuk Aishah Ahmad berkata, peningkatan sebanyak 30,000 unit daripada jangkaan asal itu dibuat berdasarkan prestasi ekonomi Malaysia yang dijangka meneruskan momentum pemulihan selepas menyaksikan pertumbuhan sebanyak 5.0 peratus pada suku pertama.
Ujarnya, dengan sokongan dasar kerajaan yang konsisten, terutama inisiatif di bawah Bajet 2022, kesan limpahan daripada Bajet 2021 dan pakej rangsangan dan bantuan sebelum ini, ekonomi negara akan terus bertambah baik pada separuh kedua tahun ini.
“Pelbagai pakej rangsangan ekonomi untuk mengurangkan kesan buruk Covid-19 pandemik dan memulihkan aktiviti ekonomi telah banyak membantu.
“Untuk industri automotif, tempoh cuti cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk pembeli kereta menikmati pengecualian yang sudah berakhir, ahli MAA berbesar hati kerana kerajaan berkuasa telah melanjutkan tempoh manfaat pengecualian dengan pendaftaran kenderaan sebelum 31 Mac 2023 apabila menempah sehingga 30 Jun lalu.
“Langkah ini sememangnya positif kerana ia akan membantu industri automotif memenuhi tempahan yang tertunggak dan pada masa sama membenarkan rakyat menikmati harga kereta yang lebih rendah,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman prestasi pasaran automotif separuh pertama 2022 secara maya, semalam.
Berdasarkan unjuran baharu, kenderaan penumpang dijangka naik kepada 567,000 unit daripada 540,000 unit manakala kenderaan komersial sebanyak 63,000 unit berbanding unjuran awal 60,000 unit.
Mengulas prestasi TIV separuh pertama 2022, Aishah berkata, sebanyak 331,386 unit kenderaan terjual, melonjak 33 peratus berbanding 249,178 unit yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.
“Kenderaan penumpang menyumbang 293,540 unit, manakala baki 37,846 unit lagi disumbangkan oleh kenderaan komersial.
“TIV pada Mac adalah tertinggi dalam sejarah automotif tempatan iaitu 73,244 unit, disokong langkah ahli MAA untuk menyempurnakan penghantaran bagi syarikat dengan tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022,” ujarnya.
Menurut beliau, bagi jualan Jun pula, susulan langkah kerajaan tidak melanjutkan insentif pengecualian cukai turut melonjakkan jualan melepasi 60,000 unit.
“Dengan angka jualan 63,366 unit yang dicatatkan pada Jun, ia menjadi jualan bulanan kedua tertinggi yang dicatatkan pada enam bulan pertama 2022.
“Jualan pada Jun mungkin lebih tinggi jika tiada isu kekurangan cip dan komponen yang telah menjejaskan beberapa pengeluar,” katanya. – UTUSAN










