KUALA LUMPUR: Industri petrokimia tempatan dijangka terus berkembang dengan rancak antara lima hingga enam peratus dari tahun ke tahun walaupun dengan krisis dan konflik berterusan di Ukraine.
Presiden Persatuan Petrokimia Malaysia (MPA), Akbar Md Thayoob berkata, malahan konflik tersebut dilihat sebagai satu dorongan kepada beberapa negara lain mengantikan penawaran yang kurang dalam pasaran.
Katanya, industri petrokimia di Malaysia berada di posisi yang betul untuk membantu memenuhi keperluan tersebut yang terkesan akibat konflik terbabit.
“Ini kerana. kita boleh meningkatkan petroleum, petrokimia dan juga industri minyak sawit. Negara mempunyai semua ‘bahan-bahan’ yang diperlukan untuk memudahkan impak konflik ini.
“Saya rasa pertumbuhan petrokimia di negara ini adalah lebih tinggi daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Sudah tentu ada sesetengah industri akan tumbuh lebih pantas berbanding yang lain tetapi petrokimia akan menjadi enjin pertumbuhan yang penting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media mengenai Persidangan Kelestarian Petrokimia (PSC) 2020 di Hotel Mandarin Oriental di sini, hari ini.
Persidang selama tiga hari yang diadakan pada 13 hingga 15 September depan, dijangka menarik penyertaan kira-kira 500 syarikat dari 25 negara, akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Sementara itu, Akbar berkata, petrokimia menawarkan banyak penyelesaian yang menuju ke arah pelepasan sifar yang seterusnya menjadikan ia tumbuh dengan begitu pantas.
“Petrokimia adalah elemen yang penting untuk dunia yang bergerak ke arah kecekapan tenaga dan pelepasan sifar.
“Mana-mana kenderaan yang memerlukan penggunaan minyak yang rendah perlukan elemen yang ringan tetapi kukuh. Di sinilah petrokimia memainkan peranannya seperti resin iaitu sejenis bahan plastik yang kukuh tapi ringan yang dapat menggunakan tenaga dengan lebih rendah,” ujarnya. – UTUSAN









