JAKARTA: Indonesia perlu mengeksport enam juta tan minyak sawit sehingga Ogos jika mahu mengurangkan tahap inventori yang melonjak kembali kepada normal, kata persatuan industri selepas kerajaan membatalkan levi eksport selama hampir dua bulan.
Pengeksport minyak sawit terbesar dunia itu telah membatalkan levi ke atas eksport minyak sayuran sehingga Ogos dan mengubah perincian kadar levi progresif untuk September, dalam usaha meningkatkan eksport serta mengurangkan stok domestik yang tinggi.
Inventori domestik telah meningkat selepas Jakarta mengenakan larangan eksport minyak sawit selama tiga minggu pada April dan Mei.
Penyambungan semula eksport tidak banyak membantu mengurangkan stok kerana pihak berkuasa sejak Mei telah mengenakan peraturan jualan domestik mandatori – dikenali sebagai obligasi pasaran domestik (DMO) untuk menambah bekalan minyak masak.
Persatuan Minyak Sawit Indonesia (GAPKI) mengalu-alukan pengecualian levi itu, tetapi mahu ia dilengkapi dengan penyingkiran DMO, dengan alasan industri telah terjejas teruk oleh krisis penyimpanan, memaksa kilang mengehadkan pembelian buah sawit dan menimbulkan kemarahan petani menjelang musim menuai puncak.
“Perkara paling penting sehingga September ialah membersihkan tangki dan aliran eksport yang lancar mesti menjadi tumpuan utama,” kata Setiausaha Agung GAPKI, Eddy Martono kepada Reuters.
Indonesia kini mempunyai kira-kira tujuh juta tan minyak sawit dalam simpanan, termasuk di kemudahan penyimpanan terapung buatan.
Semasa puncak musim menuai, negara itu lazimnya mengeluarkan tiga hingga empat juta tan sebulan, bermakna pengurangan stok memerlukan dua kali ganda jumlah eksport atau kira-kira enam juta tan sekurang-kurangnya sehingga Ogos.
Sebelum larangan eksport, Indonesia biasanya mengeksport sekitar tiga juta tan produk minyak sawit dan menguruskan kira-kira tiga juta hingga empat juta tan dalam inventori.
Pegawai kerajaan tidak menjawab permintaan untuk mengulas permintaan GAPKI membatalkan peraturan DMO.
Ahad lalu, kementerian ekonomi mengeluarkan kenyataan bahawa beberapa levi minyak sawit progresif pada September akan berada di bawah kadar sebelumnya, bagi memastikan “pengagihan nilai tambah” dalam industri minyak sawit. – AGENSI










