PETALING JAYA: Beberapa imej baharu Samsung Galaxy Z Fold 4 dan Z Flip 4 mula tersebar di internet menjelang tarikh pelancaran peranti baharu syarikat teknologi Korea Selatan tersebut pada 10 Ogos depan.
Imej tersebut telah dikeluarkan oleh portal 91mobiles dan pemilik Twitter Evan Blass.
Berdasarkan imej berkenaan, peranti Galaxy Z Fold 4 didatangkan dalam tiga warna iaitu hitam phantom, kuning cair (beige) dan kelabu hijau (graygreen).
Sementara itu, Galaxy Z Flip 4 pula didatangkan dalam empat warna iaitu kelabu, ungu, emas dan biru muda.
Imej tersebut juga menunjukkan Galaxy Z Flip 4 mempunyai reka bentuk yang lebih nipis berbanding Galaxy Z Flip 3 yang dilancarkan tahun lalu.
Sementara itu, Samsung telah mengesahkan tarikh pelancaran peranti baharu yang sebelum ini dikhabarkan pada 10 Ogos.
Tarikh tersebut dimuat naik dalam satu teka-teki di Twitter milik syarikat itu yang menunjukkan tarikh pelancaran tersebut.
Samsung juga dipercayai akan melancarkan dua peranti jam tangan baharu iaitu Galaxy Watch 5 dan the Galaxy Watch 5 Pro serta peranti fon telinga tanpa wayar, Galaxy Buds 2 Pro. – UTUSAN










