NEW YORK: Ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat S&P 500 menerima imbuhan berjumlah purata AS$18.3 juta (RM83.33 juta) pada tahun lalu, menurut Persekutuan Buruh Amerika dan Kongres Pertubuhan Perindustrian (AFL-CIO).
Kumpulan itu terdiri daripada 56 kesatuan kebangsaan dan antarabangsa.
Dalam laporan mengenai gaji eksekutif, AFL-CIO berkata, imbuhan atau gaji CEO meningkat 18.2 peratus, lebih cepat daripada kadar inflasi Amerika Syarikat (AS) sebanyak 7.1 peratus.
“Sebaliknya, gaji pekerja AS jatuh di belakang inflasi, dengan gaji pekerja meningkat hanya 4.7 peratus pada 2021,” jelasnya dalam laporan itu.
Purata nisbah gaji CEO kepada pekerja syarikat S&P 500 ialah 324 berbanding 1, tambahnya.
Menurut laporan itu lagi, bayaran imbuhan CEO itu tersebut petanda `kerakusan’, apabila syarikat menaikkan harga untuk meningkatkan keuntungan korporat dan mencipta pembayaran durian runtuh untuk CEO korporat.
Jelasnya, pada 2021, Ketua Pegawai Eksekutif Amazon yang baharu, Andy Jassy menerima imbuhan sebanyak AS$212.7 juta (RM968.59 juta), memberikan nisbah gaji CEO Amazon kepada pekerja, tertinggi daripada semua syarikat dalam Indeks S&P 500.
AFL-CIO berkata, gaji median pekerja Amazon ialah AS$32,855 (RM149,615.10) dan mengikut nisbah gaji CEO-ke-pekerja Amazon adalah sebanyak 6,474 berbanding 1.
“Nisbah gaji CEO kepada pekerja adalah penting. Nisbah gaji yang lebih tinggi boleh menjadi petanda bahawa syarikat mengalami falsafah pemenang-ambil-semua, di mana eksekutif mendapat bahagian terbesar imbuhan.
“Manakala nisbah gaji yang lebih rendah boleh menunjukkan syarikat berdedikasi untuk mencipta pekerjaan bergaji tinggi dan melabur dalam pekerja mereka demi masa hadapan syarikat,” katanya.
Tambahnya, imbuhan CEO meningkat paling cepat dalam sektor konsumer, peningkatan sebanyak 79 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Jelasnya, nisbah gaji CEO kepada pekerja juga merupakan yang tertinggi dalam sektor berkenaan merangkumi syarikat runcit seperti Amazon, di mana pekerja median hanya memperoleh AS$32,855 (RM149,615.10) pada 2021.
Laporan itu berkata, syarikat-syarikat besar mengaut keuntungan daripada kenaikan harga, manakala gaji pekerja semakin susut di belakang inflasi. – AGENSI










