PETALING JAYA: Hong Leong Financial Group (HLFG) dinobatkan sebagai Bank Terurus Terbaik dan Kumpulan Pegangan Kewangan di Malaysia oleh Anugerah Pencapaian Kepemimpinan Jurubank Asia 2022.
Diadakan setiap tiga tahun sekali, program Anugerah Pencapaian Kepemimpinan adalah pengiktirafan yang eksklusif untuk mana-mana jurubank terkemuka dalam industri kerana proses penilaian yang ketat, tertumpu kepada prestasi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), pengerusi dan lembaga pengarah dalam perkhidmatan kewangan di Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika.
HLFG diiktiraf kerana kepimpinannya yang memainkan peranan penting dalam mengukuhkan transformasi digital di seluruh kumpulan serta menyediakan peralihan kumpulan ke arah masa depan yang hijau dan mampan.
Presiden HLFG dan Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Kong Khoon berkata, kemenangan itu harus dikaitkan dengan operasi syarikat yang telah menunjukkan daya tahan dan pertumbuhan luar biasa dengan mengutamakan strategi digital yang sesuai untuk masa hadapan dan kemampanan jangka panjang.
“Anugerah ini akan terus menyemarakkan semangat kami untuk membina organisasi bersepadu dan perkhidmatan kewangan inovatif yang sentiasa memenuhi keperluan pelanggan,” katanya dalam kenyataan.
Walaupun menghadapi cabaran sepanjang tempoh tinjauan, HLFG mengekalkan trajektori pertumbuhan dengan modal utama, kecairan dan metrik kredit kekal kukuh.
Pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021, kumpulan mencatatkan keuntungan bersih yang membanggakan yang boleh diagihkan kepada pemegang saham sebanyak AS$552.49 juta (RM2.3 bilion), iaitu 21.9 peratus lebih tinggi berbanding tahun kewangan sebelumnya.
Bahagian perbankan komersial HLFG yang diterajui oleh Hong Leong Bank dibangunkan dan memperkenalkan generasi baharu tawaran perbankan digital ringkas dan lancar yang direka untuk memenuhi keperluan pelanggan dalam tempoh tiga tahun lepas.
Lebih daripada 90 peratus daripada semua transaksi perbankan kini dijalankan melalui saluran digital dengan 67 peratus daripada perbankan mudah alih pelanggan adalah pengguna aktif.
Selain itu, kumpulan memenuhi piawaian yang diiktiraf di peringkat global untuk dimasukkan ke dalam FTSE4Good Indeks Bursa Malaysia, direka untuk mengukur prestasi syarikat yang menunjukkan amalan ESG yang baik. – UTUSAN










