Pengarah dipenjara, didenda RM2.3 juta

Gubah wang haram: Pengarah dipenjara, didenda RM2.3 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang pengarah didenda berjumlah RM2.258 juta semalam, selepas disabitkan atas tiga kesalahan di bawah Seksyen 32(8)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Hukuman dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Kamarudin Kamsun ke atas tertuduh, Amirruddin Nin, 52, pengarah CTB Solutions Sdn. Bhd., menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Syarikat berkenaan menyediakan penyelesaian pengurusan armada (fleet) GPS bersepadu yang fleksibel untuk pelbagai industri.

SC berkata, kesalahan tersebut dilakukan antara 15 Jun 2017 dan 18 Februari 2020, berhubung kegagalan Amirruddin hadir di hadapan pegawai penyiasat SC untuk pemeriksaan berkaitan siasatan pengubahan wang haram.

“Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM100,000 dan penjara sehari bagi setiap daripada tiga pertuduhan ke atasnya, dengan hukuman penjara dijalankan serentak,” katanya dalam kenyataan.

Tambah SC, mahkamah juga mendapati Amirruddin bersalah kerana terus menerus gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan pihaknya untuk hadir bagi pemeriksaan iaitu selama 979 hari.

“Mahkamah memerintahkan Amirruddin untuk membayar denda harian sebanyak RM2,000, dengan jumlah sebanyak RM1.958 juta. Jumlah keseluruhan denda terhadapnya berikutan sabitan adalah sebanyak RM2.258 juta,” jelasnya.

SC sehubungan itu mengingatkan orang ramai bahawa kegagalan mematuhi notis bertulis yang dikeluarkan oleh pegawai penyiasatnya adalah satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah undang-undang sekuriti.

“(Ini kerana, tindakan itu) akan menghalang SC dalam melaksanakan fungsi penyiasatan dan penguatkuasaannya yang amat penting dalam mengekalkan integriti pasaran modal,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN