PETALING JAYA: Bahagian siber Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) telah mengeluarkan amaran kepada institusi kewangan dan pelabur mengenai penjenayah siber yang mencipta aplikasi pelaburan mata wang kripto palsu untuk menipu pelabur.
FBI dalam kenyataan berkata, pihaknya telah memerhatikan (modes operandi) penjenayah siber menghubungi pelabur AS, dan mendakwa menawarkan perkhidmatan pelaburan mata wang kripto yang sah.
Penjenayah juga cuba meyakinkan pelabur untuk memuat turun aplikasi mudah alih penipuan yang telah digunakan oleh mereka.
“FBI telah mengenal pasti sebanyak 244 mangsa, dan menganggarkan anggaran kerugian yang dikaitkan dengan aktiviti itu ialah AS$42.7 juta (RM190.31 juta),” katanya.
Agensi itu berkata, antara 22 Disember 2021 dan 7 Mei 2022, penjenayah siber tidak dikenali yang menyamar sebagai institusi kewangan AS yang sah telah menipu sekurang-kurangnya 28 mangsa membabitkan jumlah kira-kira AS$3.7 juta (RM16.84 juta).
“Penjenayah siber meyakinkan mangsa untuk memuat turun aplikasi yang menggunakan nama dan logo institusi kewangan AS sebenar, seterusnya mendepositkan mata wang kripto ke dalam dompet yang dikaitkan dengan akaun mangsa pada aplikasi itu.
“Apabila 13 daripada 28 mangsa cuba mengeluarkan dana daripada aplikasi, mereka menerima e-mel yang menyatakan mereka perlu membayar cukai ke atas pelaburan mereka sebelum membuat pengeluaran.
“Selepas membayar cukai yang sepatutnya, mangsa tetap tidak dapat mengeluarkan dana,” katanya. – UTUSAN










