PETALING JAYA: Kerajaan perlu menukar sistem subsidi pukal kepada subsidi bersasar bagi mengurangkan tekanan inflasi dan jurang defisit perbelanjaan kerajaan.
Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, jika subsidi pukal diteruskan, defisit perbelanjaan kerajaan akan meluas dan mungkin peratusan berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) boleh mencecah dua digit sekali gus menambah beban kewangan kerajaan setiap tahun.
“Kerajaan sebenarnya perlu meneroka alternatif untuk meningkatkan hasil kerajaan, tetapi usaha menaikkan hasil melalui kadar cukai yang lebih tinggi atau pengenalan cukai baharu akan mengambil masa kerana memerlukan kelulusan Parlimen.
“Oleh itu saya lihat, (mekanisme) terbaik yang boleh dilakukan sekarang ialah memberi subsidi bersasar di samping bantuan tunai secara langsung kepada golongan rentan, B40 dan mungkin M40 yang tinggal di bandar besar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Media sebelum ini melaporkan, kadar inflasi Malaysia dijangka melonjak sehingga 11.4 peratus jika kerajaan memutuskan untuk menghentikan penyaluran subsidi mencecah RM51 bilion kepada rakyat tahun ini.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, tanpa peranan kerajaan untuk menstabilkan harga, kadar inflasi yang dicatatkan sebanyak 2.8 peratus pada Mei pastinya meningkat dengan ketara kepada 11.4 peratus.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz juga terdahulu memaklumkan unjuran perbelanjaan subsidi ditanggung kerajaan pada tahun ini ialah RM77.3 bilion iaitu tertinggi dalam sejarah negara.
Jumlah RM77.3 bilon subsidi yang diberikan kerajaan ketika ini penting bagi menstabilkan harga bagi petrol, diesel, minyak masak, ayam, telur dan gas petroleum cecair (LPG).
Mengulas mengenai kenyataan tersebut, Ahmed Razman berkata, walaupun tindakan mengekalkan subsidi itu diambil bagi memastikan rakyat tidak terkesan dengan begitu ketara apabila berlaku kenaikan harga barangan yang mendadak, namun senario global seperti krisis Russia-Ukraine akan memberi kesan.
“Selain itu, pembukaan kembali sektor ekonomi di China apabila lockdown berakhir akan menambahkan tekanan ke atas harga barangan makanan global untuk beberapa bulan akan datang, sekali gus menyebabkan ada kemungkinan kerajaan terpaksa berbelanja dengan lebih besar lagi apabila memberi subsidi kepada rakyat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) menyemak semula unjuran kadar inflasi tahun ini kepada 3.4 peratus daripada 2.7 peratus sebelumnya.
Ketua ekonominya, Suhaimi Ilias berkata, pihaknya juga telah menaikkan unjuran kadar inflasi untuk 2023 kepada 4.1 peratus daripada 2.5 peratus.
“Ini kerana kami telah memasukkan harga barangan makanan seperti ayam dan minyak masak yang lebih tinggi mulai Julai tahun ini berikutan harga siling yang lebih tinggi untuk ayam standard dan pemansuhan subsidi harga minyak masak botol, serta jangkaan subsidi bahan api tahun depan,” katanya. – UTUSAN










