Selgate sasar buka 18 cawangan farmasi Jovian Selcare

Selgate sasar buka 18 cawangan farmasi Jovian Selcare

NOOR Hisham Mohd. Ghouth (kiri) mendengar penjelasan diberikan oleh Jovian Mandagie semasa perasmian cawangan Jovian Selcare Pharmacy dekat Kompleks PKNS di Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor, Selgate Healthcare Sdn. Bhd. (Selgate) bersedia melabur lebih RM2.7 juta untuk mengembangkan perniagaan Farmasi Jovian Selcare dengan menyasarkan pembukaan sekurang-kurangnya 18 cawangan di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Noor Hisham Mohd. Ghouth berkata, keputusan itu dimuktamadkan syarikatnya bagi meluaskan perkembangan perniagaannya di seluruh negara dalam industri kesihatan.

“Peruntukan untuk membuka kesemua outlet ini dianggarkan lebih RM2 juta dengan kos membuka sesebuah farmasi yang paling rendah dianggarkan dalam RM150,000.

“Farmasi adalah salah satu cabang perniagaan yang kami ceburi, selain pembukaan beberapa buah klinik Selcare serta perancangan bagi membina hospital Selcare pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Jovian Selcare Pharmacy di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini, semalam.

Beliau memaklumkan, farmasi di Kompleks PKNS merupakan cawangan keempat yang dibuka sele[as Bangi, Universiti Selangor (UNISEL) kampus Shah Alam dan di Seksyen 7, Shah Alam.

Noor Hisham menjelaskan, lebih 1,000 produk kesihatan yang dijual di farmasi tersebut yang menawarkan harga berpatutan serta mampu dibeli oleh golongan berpendapatan rendah (B40).

“Selgate bukan syarikat yang berorientasikan keuntungan semata-mata, sebaliknya kita mahu menawarkan produk serta fasiliti kesihatan yang mampu dibayar pelbagai lapisan masyarakat.

“Selain produk, kita turut menawarkan perkhidmatan menyemak pelbagai penyakit di farmasi ini seperti ujian mengesan kandungan glukosa dalam darah, ujian mengesan kandungan asid urik, ujian tekanan darah dan lain-lain lagi,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Jovian Mandagie Corporate (JM), Datuk Jovian Mandagie berkata, beliau sangat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Selgate bagi menawarkan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat Malaysia.

Beliau berharap syarikatnya dapat terus bekerjasama dengan Selgate dalam beberapa projek pada masa akan datang.

Menurutnya, farmasi di Kompleks PKNS merupakan outlet keempat yang dibuka Selgate, setelah membuka outlet sama di Bangi, Universiti Selangor (UNISEL) kampus Shah Alam dan di Seksyen 7, Shah Alam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN