
SEKTOR perladangan, di manakah kepakaran tempatan?
Sektor perladangan negara khususnya industri sawit, terus bergelut dengan masalah kekurangan tenaga buruh. Persatuan Pemilik Ladang Malaysia (MEOA) meramalkan industri sawit akan mengalami penurunan pendapatan antara lima hingga 10 peratus akibat kekurangan pekerja.
Berdasarkan perangkaan dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), industri sawit merupakan antara penyumbang utama eksport negara pada Mei berjumlah RM120.5 bilion, dengan eksport minyak kelapa sawit & keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit merekodkan pertumbuhan sebanyak RM3.1 bilion.
Dalam usaha mengatasi masalah tersebut, kerajaan pada September 2021 dilaporkan telah bersetuju meluluskan rancangan membawa masuk sejumlah 32,000 pekerja asing untuk memenuhi sektor berkenaan di seluruh negara.
Namun, akibat masalah birokrasi dan pelbagai faktor lain menyebabkan kemasukan pekerja terbabit sehingga kini dilaporkan masih belum berjaya diselesaikan sepenuhnya sehinggakan isu kekurangan buruh terus berbangkit.
Keadaan ini sebenarnya menggambarkan betapa negara sangat bergantung kepada tenaga buruh asing dalam sektor perladangan terutama sawit. Begitu juga sektor-sektor lain seperti pembinaan.
Walhal, industri sawit bukan sektor baharu di negara ini yang asalnya pun negara pertanian dengan kewujudan banyak tanah rancangan di seluruh negara. Ironinya, sehingga kini sektor berkenaan terus bergantung kepada sumber tenaga buruh konvensional terutama pekerja asing.
Ketika negara lain giat memajukan bidang pertanian dengan dipacu oleh teknologi automasi dan kecerdasan buatan (AI), Malaysia dilihat masih ketinggalan apabila terus bergantung penuh kepada sumber tenaga manusia untuk membangunkan sektor berkenaan.
Tidak hairanlah ketika Indonesia melarang eksport sawitnya, Malaysia, negara pengeluar kedua terbesar dunia komoditi itu, dilihat gagal merebut sepenuhnya pasaran yang ditinggalkan oleh negara jiran, ketika harga sawit sedang melonjak tinggi.
Di manakah kehebatan anak-anak tempatan dalam membangunkan teknologi automasi atau apa sahaja istilahnya, untuk industri sawit? Sejauh mana pelaburan dibuat oleh syarikat-syarikat perladangan memajukan automasi dalam industri berkenaan?
Lihatlah China, rakan dagangan penting Malaysia yang juga pengimport utama minyak sawit negara. Negara itu dilaporkan sedang memajukan tanaman kelapa sawit untuk mengurangkan penggantungan kepada negara luar. Sekiranya berjaya, kesannya sangat besar kepada Malaysia dan negara pengeluar sawit lain.
Selain itu, dengan pelaksanaan gaji minimum RM1,500, kemasukan lebih ramai pekerja asing terutama dalam sektor perladangan, akan hanya meningkatkan aliran keluar mata wang negara. Dengan anggaran 32,000 pekerja asing, negara dijangka menyaksikan aliran keluar kira-kira RM48 juta sebulan atau RM576 juta setahun. Jumlah yang cukup besar dalam keadaan ekonomi sekarang.
Dalam keadaan ekonomi yang penuh mencabar dan kejatuhan nilai ringgit, aliran keluar wang perlu diminimumkan dan seharusnya ia digunakan untuk memacu pertumbuhan ekonomi domestik. Jangan hanya tunggu dan lihat, bertindak segera! – UTUSAN










