SAS 2022: Sasar RM700 juta potensi pelaburan

SAS 2022: Sasar RM700 juta potensi pelaburan

MAJLIS perasmian Pameran Penerbangan Selangor 2022 di Petaling Jaya, semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Invest Selangor Berhad menyasarkan RM700 juta potensi nilai transaksi dengan lebih banyak peluang perniagaan dan pelaburan peringkat tempatan dan antarabangsa menerusi Pameran Penerbangan Selangor (SAS) 2022.

SAS2022 edisi kedua dengan kerjasama bahagian aeroangkasa Pejabat Koordinasi Industri Aeroangkasa Selangor (SDAICO) itu akan berlangsung pada 8 hingga 10 September 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC), Subang.

Pameran ini bakal menyediakan peluang untuk rangkaian peringkat tinggi dan prospek penembusan pasaran dengan pemain industri daripada pelbagai sektor termasuk komersial, penerbangan perniagaan, penerbangan am dan subsektor helikopter industri penerbangan di Malaysia dan berpotensi di rantau ini.

Invest Selangor turut menyasarkan kehadiran kira-kira 8,000 pengunjung dengan sekurang-kurangnya 70 gerai dari syarikat tempatan dan antarabangsa, serta 30 paparan statik pesawat dan helikopter, termasuk jet peribadi mewah.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Datuk Hasan Azhari berkata, selain eksposisi dan paparan statik, terdapat juga sesi rangkaian perniagaan untuk peserta pempamer dengan pelawat dan rakan kongsi perdagangan yang berpotensi, sesi pembentangan produk, seminar serta sesi latihan dan laluan kerjaya.

“Penerimaan rangkaian juga dirancang untuk memaksimumkan penyertaan peserta pameran yang juga termasuk sesi dengan bakal pelanggan perniagaan penerbangan penumpang atau penerbangan sewa.

Sementara itu, Exco Perindustrian dan Perdagangan, Datuk Teng Chang Khim berkata, industri penerbangan adalah antara industri berimpak tinggi yang telah kenal pasti boleh menjana pelbagai manfaat kepada pertumbuhan ekonomi negeri dalam dekad yang akan datang.

Ujarnya, SAS2022 akan menawarkan perspektif industri serantau dan akan disertai pemain industri global.

Katanya, tahun ini, SAS2022 mengesahkan penyertaan daripada Sapura Aero, Destini Avia Technique, Epic Aero, DJI Academy, Epic Aero, DJI Academy, Superb Access, BCS Aviation, Bibus Metals, Sirim and International Aero Training Academy.

“Kami masih dalam proses perbincangan dengan lebih banyak syarikat pengeluar peralatan asli (OEM) dan berharap untuk mempunyai lebih banyak penyertaan tahun ini seperti Dassault Aviation dengan jet Falcon Business dan lain-lain,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN