Saham, ringgit merudum

Saham, ringgit merudum

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia dan pasaran saham global merudum dalam sesi dagangan semalam, didorong oleh kemungkinan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) yang akan menaikkan kadar faedah antara 0.5 ke 0.75 peratus lagi.

Bursa Malaysia merekodkan prestasi lebih rendah di bawah 1,470.00 dengan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup pada 1,464.83 semalam, kejatuhan 29.12 mata berban­ding hari sebelumnya.

Prestasi itu lebih rendah berbanding 1,483.45 mata yang dica­tatkan pada Disember tahun lalu berikutan kebimbangan varian baharu Omicron membawa impak ke atas pemulihan ekonomi global.

Jumlah kaunter rugi juga me­ngatasi untung dengan 1,085 berbanding hanya 138.

Mata wang negara turut jatuh ke paras terendah dalam tempoh hampir dua tahun berbanding dolar pada 4.4110/4205 berban­ding 4.3990/4015 pada Jumaat.

Selain Bursa Malaysia, bursa serantau dan global turut merekodkan kejatuhan semalam de­ngan Nikkei 225 jatuh 836.85 mata dan ditutup pada 26,987.44; Han Seng susut 738.60 mata kepada 21,067.58; Shanghai Composite Index jatuh 29.28 mata kepada 3,255.55 mata sementara Straits Times Singapura susut 41.54 mata kepada 3,140.19 mata.

Di pasaran saham Eropah pula menyaksikan FTSE 100 Index UK susut 121.88 mata kepada 7,195.91; Euronext Paris CAC 40 Index susut 136.78 mata kepada 6,049.48 dan Borsa Italia FTSE MIB Index, jatuh 443.74 mata kepada 22,106.73.

Bursa AS, Dow Jones turut mengalami kejatuhan besar sebanyak 880 mata dan ditutup pada 31,392.79

Mengulas perkembangan tersebut, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, ia berikutan strategi AS untuk menangani kenaikan kadar inflasi yang melanda negara ekonomi terbesar dunia itu.

“Ini meneruskan aliran pasaran modal dunia untuk beralih ke AS dan menyebabkan kejatuhan pasaran saham di seluruh dunia termasuk di AS sendiri.

“Begitu juga dengan mata wang negara-negara utama lain yang turut merosot seperti ringgit berbanding dolar AS. Sebagai contoh mata wang Jepun, yen, juga telah mencecah nilai terendah berbanding dolar AS dalam tempoh sedekad,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Awal Mei lalu, Fed mengumumkan kenaikan kadar faedah terbesar sejak 2000 iaitu setengah mata pe­ratusan, kepada 8.6 peratus dalam usaha mengawal inflasi yang me­ningkat ketara di negara itu dan juga disebabkan kenaikan harga minyak mentah.

Selepas kenaikan suku mata pada Mac, penetapan dasar Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) bank pusat AS terbaharu itu menjadikan kadar faedah penanda aras melebihi 0.75 peratus, ketika mereka ber­usaha meredakan ekonomi dan mengesahkan lebih banyak kenaikan bersesuaian akan diper­kenalkan.

Menurut Aimi Zulhazmi, kenaikan kadar faedah yang besar itu memberikan petanda dalam perubahan ekonomi dunia, apakah ia akan mengheret dunia kepada kemelesetan dan bear market kepada pasaran saham dunia.

“Peralihan pelaburan kepada bon yang memberikan kadar fa­edah yang lebih tinggi menarik banyak pelaburan. Selain daripada pasaran saham, ia juga menjejaskan pelaburan lain seperti kripto apabila pelabur beralih arah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN