PETALING JAYA: Ringgit terus merudum berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang mengukuh, susulan sentimen berhati-hati mengenai pengumuman kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS.
Pada pukul 9 pagi semalam, mata wang tempatan susut kepada 4.4220/4245 berbanding dolar AS daripada 4.4110/4205 pada hari sebelumnya, meneruskan nilai terendah dalam tempoh hampir dua tahun.
Ringgit kemudian meningkat sedikit kepada 4.4190/4220 berbanding dolar AS di akhir urus niaga semalam.
Indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pula susut 9.41 mata semasa kaunter dibuka kepada 1,455.42 sebelum meningkat sedikit kepada 1,479.43 pada akhir dagangan.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 524 berbanding 406, manakala 398 kaunter tidak berubah dan 935 kaunter tidak diniagakan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, terdapat beberapa tanda-tanda kemelesetan ekonomi yang sering dilihat oleh ahli ekonomi, antara yang utama ialah keluk kadar hasil bon yang terbalik.
Ujarnya, kebiasaannya kadar faedah dalam pasaran bon yang mempunyai tarikh matang yang pendek adalah lebih tinggi berbanding kadar faedah tarikh matang yang panjang.
“Jadi apabila terbalik, kadar faedah jangka pendek akan lebih tinggi daripada kadar faedah jangka panjang. Terbaharu, keluk hasil bon yang terbalik telah berlaku pada April lalu di AS. Disebabkan itu, risiko kemelesetan ekonomi dikatakan tinggi kerana dasar monetari dijangka akan lebih menyokong pertumbuhan.
“Seperti kita sedia maklum, dasar monetari AS dianggap sebagai penanda trend, jadi, apabila Feb AS dijangka menaikkan kadar faedah dengan terdapatnya tanda-tanda seperti keluk kadar hasil bon yang terbalik, ia menguatkan lagi hujah kemelesetan ekonomi akan berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain pasaran bon, ujarnya, ahli ekonomi juga akan melihat pasaran saham kerana sekiranya pasaran saham merudum atau mengalami fasa menurun yang agresif juga menandakan bahawa prospek ekonomi agak mencabar.
Jelasnya, itu kerana harga saham melambangkan prospek pendapatan syarikat dan sekiranya harga saham menurun, bermakna prospek syarikat itu dari segi pendapatan untuk masa depan agak mencabar.
Mengulas mengenai pasaran saham untuk minggu ini, beliau berkata, aliran penurunan Bursa Malaysia berlaku susulan kebimbangan mengenai tindakan Fed menaikkan kadar faedah lebih agresif menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) minggu ini.
“Kadar inflasi AS telah meningkat sebanyak 8.6 peratus pada Mei lalu, justeru ia memberi persepsi bahawa kemungkinan besar Fed AS akan meningkatkan kadar dengan lebih agresif.
“Kini, pasaran saham menjangka kadar faedah akan dinaikkan sebanyak 50 mata asas. Pasaran bagaimanapun tidak pasti sekiranya ia akan dinaikkan lebih daripada itu,” katanya.
Menurut Afzanizam, indeks dolar AS (DXY) meningkat kepada 105.078 mata yang juga angka tertinggi sejak 2002.
Katanya, dolar AS kekal menjadi pilihan ramai sejak Jumaat lepas apabila Indeks Harga Pengguna (IHP) mencecah paras lebih tinggi daripada dijangkakan.
“Unjuran ekonomi ketika mesyuarat Fed pada Mac lepas menyaksikan mereka menyemak semula unjuran Kadar Dana Fed bagi 2022 kepada 1.9 peratus daripada 0.9 peratus.
“Bagi 2023, unjuran kadar utama itu adalah pada 2.8 peratus daripada sebelumnya iaitu 1.6 peratus. Keadaan serupa bagi 2024 dengan unjuran Kadar Dana Fed pada 2.8 peratus daripada 2.1 peratus sebelum ini.
“Berikutan itu kadar yang dilabelkan sebagai neutral, kadar yang sama ada menguncup atau mengembang, terletak dalam lingkungan 2.5 ke 3.0 peratus,” katanya. – UTUSAN










