PTPTN anjur program bantu graduan peminjam PTPTN

PTPTN anjur program bantu graduan peminjam PTPTN

Sebagai tabung pendidikan utama negara, PTPTN sentiasa prihatin kepada para peminjamnya dengan mengambil pelbagai inisiatif membantu mereka. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) terus komited membantu graduan yang merupakan peminjam PTPTN menerusi Program Graduate Executive Marketer for Simpan SSPN Plus (GEMS).

Program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang terlibat secara langsung untuk menjayakannya.

PTPTN dalam kenyataan berkata, program itu adalah sebagai tanda cakna dan prihatin PTPTN sebagai tabung pendidikan utama negara terhadap peminjam PTPTN.

Ujarnya, ia merupakan satu inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) KPT-CAP (Career Advancement Programme), iaitu usaha kerajaan dalam menangani cabaran kebolehpasaran graduan dan mengurangkan pengangguran akibat wabak Covid-19.

“Melalui modul latihan yang diberikan, peminjam PTPTN dapat mempraktikkan ilmu keusahawanan sekali gus berupaya menjana pendapatan sendiri.

“Program ini ditawarkan kepada peminjam PTPTN graduan dalam bidang Sastera tahun 2019 dan 2020. PTPTN telah mengenal pasti peminjam yang layak sebagai peserta GEMS berdasarkan syarat yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

PTPTN berkata, peserta program akan diberikan latihan komprehensif secara dalam talian oleh pensyarah UMK selama 16 hari sebelum memasarkan produk Simpan SSPN Plus.

“Para peserta juga akan diselia oleh seorang mentor yang terdiri daripada Pegawai PTPTN. Modul latihan akan diberikan kepada para peserta dan setiap peserta yang berjaya akan menerima elaun bulanan untuk tempoh 12 bulan.

“Selain itu, peserta program GEMS akan memperoleh perlindungan takaful berkelompok percuma untuk tempoh 12 bulan, berpeluang menerima komisen atas jualan produk yang berjaya dan diberikan tanpa modal perniagaan dan waktu kerja fleksibel selain sokongan pemasaran berterusan melalui latihan dan bimbingan.

“Sijil boleh digunakan bagi memohon pengecualian jam kredit untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana di UMK, disediakan pasaran luas tanpa sempadan, tidak melibatkan transaksi tunai dan produk Simpan SSPN Plus juga telah dikenali serta patuh syariah,” katanya.

Peminjam akan menerima tawaran melalui e-mel mulai 1 Jun 2022. Peminjam perlu mengemas kini maklumat diri serta menjalani ujian psikometrik selewat-lewatnya 19 Jun 2022.

Peminjam yang bergraduat dalam bidang Sastera tahun 2019 dan 2020 tetapi tidak menerima tawaran melalui e-mel, boleh membuat semakan kelayakan di
https://www.ptptn.gov.my/program-gems/ mulai 1 Jun 2022 sehingga 19 Jun 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN