Proton masih berusaha dapat bekalan komponen

Proton masih berusaha dapat bekalan komponen

Proton Saga antara model terlaris di pasaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton Holdings Berhad masih berusaha untuk mendapatkan bekalan komponen supaya boleh memenuhi tempahan yang tertunggak.

Proton pada Mei lalu mencatatkan jualan sebanyak 9,792 unit setelah berjaya meningkatkan pengeluaran dengan mengatasi isu bekalan komponen.

Timbalan Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, peningkatan jualan itu disebabkan syarikat menaikkan jumlah pengeluaran untuk mengejar permintaan pasaran.

“Proton amat menghargai kesabaran pelanggan yang tetap memberi sokongan kepada kami,” katanya dalam kenyataan.

Menurut syarikat automotif negara itu, jualan pada Mei menunjukkan peningkatan sebanyak 10.8 peratus berbanding April lalu dan 3.7 peratus berbanding Mei 2021.

Katanya, berbanding dengan pasaran automotif secara keseluruhan pula, Proton mengekalkan kedudukan di tangga kedua dengan anggaran pegangan pasaran semasa sebanyak 19.6 peratus, manakala jumlah pegangan pasaran tahunan (YTD) dianggarkan berada pada 17.1 peratus.

Dari segi model, Proton X50 terus menguasai pasaran SUV selepas 2,779 unit didaftarkan pada Mei membolehkan ia menyandang kedudukan pertama bagi SUV segmen-B dan segmen SUV secara keseluruhan.

Dua lagi model Proton yang kekal di tempat pertama bagi segmen masing-masing adalah Proton X70 dan Exora dengan jualan sebanyak 692 unit dan 387 unit.

“Model paling laris syarikat, Proton Saga, berjaya mencapai 3,996 unit pada Mei, menempatkan ia di tangga kedua bagi sedan segmen-A. Ini adalah pencapaian yang bagus memandangkan syarikat perlu menguruskan peralihan model dari versi lama ke versi Proton Saga 2022 yang dilancarkan pada 12 Mei.

“Model baharu menawarkan ciri-ciri yang dipertingkatkan serta peningkatan keselamatan dan kualiti. Oleh itu, permintaan pasaran amat menggalakkan dengan lebih 12,000 tempahan diterima,” katanya.

Jelas Proton, Saga juga menunjukkan prestasi yang tinggi di pasaran eksport dengan jumlah 1,482 unit, penambahan sebanyak 71 peratus berbanding tahun lalu.

“Jualan eksport Mei sebanyak 513 unit adalah penambahan sebanyak 12.5 peratus berbanding bulan lepas, manakala jualan keseluruhan tahunan sebanyak 2,086 unit adalah penambahan sebanyak 47.0 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2021.

“Bagi lima bulan pertama tahun ini, Pakistan kekal sebagai pasaran eksport terbesar dengan 1,350 unit diikuti oleh Mesir dan Brunei dengan 172 dan 158 unit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN