PETALING JAYA: Pembinaan Projek Hidroelektrik Nenggiri oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), membantu kerajaan menuju sasaran 31 peratus kapasiti Tenaga Boleh Baharu (TBB) dalam pembekalan elektrik negara pada 2021 dan 40 peratus menjelang 2035.
Menurut TNB, apabila beroperasi kelak, projek itu akan menyumbang secara purata unit dijana sebanyak 600 Gigawatt jam setahun, sekali gus menghindari pelepasan 355,000 tan karbon dioksida (CO2) oleh operasi loji haba (bahan api fosil).
Jelasnya, ia juga menterjemahkan sokongan kuat TNB melalui Hala Tuju Kelestarian 2050 TNB (TNB Sustainability Pathway 2050) dengan sasaran pelepasan karbon sifar bersih, selari komitmen syarikat utiliti negara itu terhadap agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Projek bernilai RM5 bilion yang bakal menjana 300MW itu apabila siap pada 2026, membawa faedah berlipat ganda kepada Negeri Kelantan bukan sahaja dari segi mengurangkan kesan banjir dan kemarau, bahkan boleh merangsang pelbagai kegiatan ekonomi melampaui komuniti setempat,” katanya dalam kenyataan.
Majlis pecah tanah projek telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob kelmarin. Ia sebagai satu lagi penjanaan tenaga hijau oleh TNB demi melestarikan kehidupan manusia dan alam sekitar di samping meningkatkan kestabilan bekalan elektrik untuk rakyat dan negara.
Turut hadir, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Abdullah; Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Nazran Muhammad; Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din.
TNB berkata, perjanjian pelaksanaan projek telah dimeterai di antara Kerajaan Negeri Kelantan dan TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco), anak syarikat milik penuhnya, pada 17 Ogos 2021.
Kerja-kerja di tapak projek, kira-kira 30 kilometer dari bandar Gua Musang, telah bermula pada 1 Mac lalu.
“Syarikat tujuan khas (Special Purpose Vehicle – SPV) yang juga anak syarikat milik penuh TNB Genco, TNBPG Hydro Nenggiri Sdn. Bhd akan menyiapkan projek ini dalam masa 52 bulan,” jelas TNB.
Projek ini juga menepati Agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang disetujui sebulat suara oleh 193 negara termasuk Malaysia pada 2015. Ia mensasarkan manusia dapat menikmati keamanan dan
kemakmuran dengan melindungi bumi dan membasmi kemiskinan serta menyeimbangkan ekonomi, sosial dan alam sekeliling.
Projek ini juga berpotensi menjadi entiti ekonomi yang membuka peluang pekerjaan dan perniagaan tempatan dalam pelbagai bidang seperti pembinaan, makanan dan peruncitan, serta industri baharu seperti eko-pelancongan dan akuakultur, seterusnya meningkatkan taraf sosioekonomi dan kehidupan masyarakat setempat.
TNB menegaskan, sebelum memulakan kerja-kerja pembinaan, pihaknya telah memperolehi kesemua kelulusan yang diperlukan, antaranya Kajian Potensi Mineral; Kajian Penerimaan Awam dan Sosial; Kajian Impak Alam Sekeliling (Environmental Impact Assessment – EIA); Kajian Impak Sosial (Social Impact Assessment – SIA); Kajian Impak Warisan (Heritage Impact Assessment – HIA) dan sebagainya. – UTUSAN










