Pendapatan pelaburan kasar KWSP RM15.85 bilion

Pendapatan pelaburan kasar KWSP RM15.85 bilion

kwsp
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM15.85 bilion bagi suku tahun pertama berakhir 31 Mac 2022, lebih rendah daripada RM19.29 bilion yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu, didorong kemerosotan ketara dalam pasaran dunia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, KWSP memulakan awal suku tahun pertama dengan kukuh, tetapi keadaan berubah dengan mendadak apabila pasaran global mengalami kemerosotan, menyebabkan pulangan yang lebih rendah dalam bon dan ekuiti sepanjang baki suku tahun pertama.

“Penurunan ini disebabkan beberapa perkembangan yang berpunca daripada ketegangan geopolitik serta kesan daripada kenaikan kadar inflasi dan kenaikan kadar faedah.

“Perang Russia-Ukraine hanya memburukkan lagi keadaan, menyebabkan ketidaktentuan terus berlanjutan pada masa negara-negara masih bergelut untuk pulih daripada beban hutang yang tinggi dan kewangan awam yang terjejas oleh krisis pandemik,” katanya dalam kenyataan.

Walaupun penjanaan pendapatan daripada ekuiti yang menjadi penyumbang utama kepada pendapatan KWSP, terjejas oleh kelembapan pasaran, Amir Hamzah berkata, KWSP berjaya memanfaatkan kedudukan portfolionya untuk menjana keuntungan tambahan.

“Pada suku tahun yang dikaji, Ekuiti menyumbang sebanyak RM10.46 bilion, iaitu 66 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar. Selepas mengambil kira turun nilai kos atas ekuiti tersenarai, pendapatan pelaburan bersih bagi kelas aset ini menjana RM9.37 bilion untuk tempoh tersebut.

“Sebanyak RM1.09 bilion telah diturunkan nilai untuk ekuiti tersenarai pada suku tahun tersebut, sekaligus menjadikan jumlah pendapatan pelaburan bersih pada suku pertama 2022 kepada RM14.76 bilion.

“Turun nilai kos atas ekuiti tersenarai adalah polisi dalaman yang diamalkan KWSP ke atas pelaburan ekuiti tersenarainya sebagai langkah berhemat untuk memastikan portfolionya kekal sihat,” ujarnya.

AMIR HAMZAH AZIZAN

Sehingga Mac 2022, keseluruhan aset pelaburan KWSP meningkat kepada RM1.02 trilion, di mana 37 peratus dilaburkan dalam pelaburan luar negara.

Pendiversifikasian KWSP ke dalam pelbagai kelas aset, pasaran, dan mata wang yang berbeza terus memberikan kestabilan pendapatan dan tambah nilai kepada pulangan keseluruhan KWSP.

Pada suku pertama 2022, pelaburan luar negara KWSP menjana pendapatan sebanyak RM8.23 bilion, mewakili 52 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar yang direkodkan.

Sejumlah RM1.88 bilion daripada RM15.85 bilion pendapatan pelaburan kasar dijana untuk Simpanan Syariah, dan RM13.97 bilion untuk Simpanan Konvensional.

Simpanan Syariah memperoleh kesemua pendapatannya daripada bahagian portfolio syariah sahaja, manakala pendapatan Simpanan Konvensional dijana oleh kedua-dua bahagian portfolio syariah dan
konvensional.

Fokus kepada mengekalkan pertumbuhan dan membina semula simpanan ahli untuk suku tahun berikutnya, KWSP akan mengambil langkah waspada dalam menangani risiko berkaitan pemulihan pasca-pandemik serta perbalahan di Ukraine.

Kebimbangan sekitar inflasi, gangguan rantaian bekalan dan pengetatan dasar monetari oleh bank pusat berkemungkinan menjejaskan arah aliran positif dalam kedua-dua pasaran ekuiti dan bon.

Amir Hamzah berkata, KWSP kekal optimistik dengan prospek pertumbuhan Malaysia, terutamanya berikutan pembukaan semula ekonomi dan sektor sosial yang dijangka meningkat tahun ini berikutan peningkatan permintaan dalam dan luar negara, sejajar dengan unjuran pertumbuhan Kerajaan antara 5.3 dan 6.3 peratus bagi 2022.

Lanjutan daripada prestasi pasaran ekuiti yang lemah, beliau berkata KWSP akan terus mengimbangi semula kedudukan dananya dalam saham yang pada asasnya kukuh tetapi dinilai rendah.

“Kami yakin dengan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan seperti memastikan keterbukaan perdagangan dan mempelbagaikan asas eksport untuk memastikan Pelan Pemulihan Nasional berada di landasan yang betul.

“Rizab antarabangsa negara yang kukuh dan sektor kewangan yang berdaya tahan adalah antara asas kukuh yang akan menyokong usaha pemulihan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN