PETALING JAYA: Nestlé Malaysia menggiatkan usaha untuk mengurangkan sisa plastik dengan meluaskan penggunaan bahan pembungkusan yang mesra alam.
Syarikat tersebut merupakan syarikat pertama di Malaysia yang mengguna plastik kitar semula yang diperbuat daripada resin (rPET) bermutu tinggi bagi produk sedia diminum (RTD) yang dalam bentuk botol.
Usaha itu sejajar dengan ikrar Syarikat untuk mengurangkan penggunaan plastik dara sebanyak sekurang-kurangnya satu pertiga dan memastikan 100 peratus daripada pembungkusannya diperbuat daripada bahan boleh dikitar semula dan diguna semula di
seluruh dunia menjelang 2025, termasuk Malaysia. Setakat ini, 90 peratus daripada bahan pembungkusan Nestlé Malaysia direka untuk dikitar semula.
Syarikat juga telah menggantikan penggunaan plastik sekali guna bagi pek kluster MILO UHT 125ml dengan kertas dikitar semula yang diperoleh secara lestari, dan berusaha untuk meluaskan inovasi itu kepada seluruh rangkaian UHT.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestle (Malaysia) Berhad, Juan Aranols berkata, menambah baik prestasi alam sekitar pembungkusan dan meningkatkan kutipan untuk kitar semula adalah antara usaha utama di bawah agenda kelestarian syarikat.
“Sisa plastik masih merupakan masalah global dan kami sedang bekerja keras untuk melaksanakan penyelesaian yang inovatif dan lebih baik untuk alam sekitar. Dengan beralih kepada botol 100 peratus rPET dan lebih banyak pembungkusan berasaskan kertas, kami dapat mengurangkan penggunaan plastik dara serta jejak CO2 kami. Ini mencerminkan komitmen berterusan syarikat untuk membentuk masa depan bebas sisa,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, usaha itu adalah inisiatif yang bermakna di bawah “MILO Sayang Bumi” yang dilancarkan syarikat pada tahun lepas.
Katanya, Nestle berhasrat untuk menjadikan MILO sebagai jenama bebas plastik dan karbon neutral yang pertama di Malaysia menjelang 2025.
“Usaha ini juga menyokong Peta Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia 2030 dengan matlamat menyelesaikan masalah pencemaran sisa plastik dan membina ekonomi kitaran plastik bagi mengurangkan impak terhadap alam sekitar,” katanya. – UTUSAN










