MNHB dapat kontrak kejuruteraan pencawang RM27 juta - Utusan Malaysia

MNHB dapat kontrak kejuruteraan pencawang RM27 juta

CLEMENT TOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MN Holdings Berhad (MNHB) memperoleh empat kontrak baharu untuk perniagaan kejuruteraan pencawang serta  segmen perkhidmatan dan penyelesaian utiliti bawah tanah yang keseluruhannya bernilai RM27 juta.

Kontrak pertama diperolehi oleh anak syarikat milik penuhnya, MN Power Transmission Sdn. Bhd. (MN Power) untuk menjalankan kerja-kerja reka bentuk dan pembinaan bagi pelanjutan dua pencawang penebat udara (2×45 MVA) di PMU 132/33kV Raub, Pahang bernilai RM16.9 juta.

Kontrak pencawang daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu dijangka siap pada Disember 2023.

Menurut kenyataan, tiga lagi kontrak diberikan kepada Mutu Nusantara Sdn. Bhd. (Mutu Nusantara), sebuah lagi anak syarikat milik penuh MNHB.

Katanya, Mutu Nusantara telah menerima Surat Anugerah (LOA) daripada KL-Kepong Oleomas Sdn. Bhd. bagi kerja pembinaan penggerudian arah mendatar (HDD) dengan harga RM4.3 juta.

“Kontrak yang dijangka siap pada Mac 2023 itu melibatkan pembekalan, penghantaran, pemasangan, ujian, pentauliahan dan penyerahan kerja pembinaan HDD bagi cadangan pencawang SSU di Kilang Oleochemical KLK di Klang.

“Mutu Nusantara turut menerima anugerah daripada Top Synthetic Rubber Sdn. Bhd., sebuah unit Top Glove Corporation Berhad untuk menyediakan kerja pembinaan HDD sebanyak RM3.5 juta.

“Skop kerja kontrak merangkumi pembekalan dan pemasangan kerja HDD untuk pemasangan kabel masuk TNB dari pencawang F44SL/11 kV P/E ke pencawang PPU Sungai Mas dan pencawang PPU Sungai Manggis untuk loji di Sungai Langat, dekat sini,” katanya.

Selain itu, Mutu Nusantara telah menerima LOA daripada Impiana Mahir Sdn. Bhd., melantiknya untuk menjadi sub-kontraktor untuk menyediakan kerja-kerja pembinaan HDD sebanyak RM2.3 juta.

Di bawah kontrak itu, Mutu Nusantara bertanggungjawab untuk pemasangan, pengujian dan pentauliahan kabel kuasa 11kv dan kerja-kerja pembinaan Kabel Bundle Aerial Voltan Tinggi ke pencawang P/E Lei Heng Farm ke pencawang Puncak Inn Bukit P/E di Bukit Fraser untuk pembangunan aset di timur Bentong, bahagian rangkaian pengedaran TNB.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Clement Toh berkata, syarikat telah menuju permulaan yang baik dan dengan penganugerahan kontrak baharu ini, MNHB berjaya meningkatkan buku pesanan tertunggaknya kepada kira-kira RM192 juta.

Empat kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan pendapatan syarikat untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 dan tahun kewangan 2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya