MCMC luluskan penggabungan Celcom, Digi

MCMC luluskan penggabungan Celcom, Digi

PENGGABUNGAN Celcom dan Digi bakal membentuk pengendali perkhidmatan mudah alih terbesar di Malaysia. – UTUSAN/ FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengeluarkan notis tiada bantahan kepada cadangan penggabungan antara Digi.Com Bhd. dan Celcom Axiata Bhd. (Celcom) yang melibatkan perniagaan Digi Telecommunications Sdn. Bhd. (Digi) dan Celcom.

Menurut MCMC, Digi dan Celcom merupakan pengendali perkhidmatan mudah alih kedua dan ketiga terbesar pada masa kini dan penggabungan ini akan menghasilkan pengendali perkhidmatan mudah alih yang terbesar di Malaysia.

“Oleh yang demikian, MCMC telah menjalankan penilaian menyeluruh terhadap penggabungan ini,” katanya dalam kenyataan.

Jelas suruhanjaya itu, pada 1 April 2022, pihaknya telah mengeluarkan Pernyataan Isu kepada pemohon (Digi dan Celcom) selaras dengan Garis Panduan Penggabungan dan Pengambilalihan bertarikh 17 Mei 2019 untuk menangani kebimbangan bahawa penggabungan ini akan atau berkemungkinan mengurangkan persaingan dengan ketara dalam sesetengah pasaran komunikasi yang telah dikenal pasti oleh MCMC.

Justeru, katanya, pemohon telah mengemukakan suatu aku janji yang mengandungi komitmen Pemohon untuk mengatasi isu-isu persaingan yang telah diketengahkan oleh MCMC di dalam Pernyataan Isu.

“MCMC telah mempertimbangkan komitmen yang ditawarkan oleh pemohon dan berpuas hati bahawa ia akan mengurangkan dengan signifikan isu-isu persaingan yang akan atau mungkin timbul akibat penggabungan ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN