PETALING JAYA: Liberty Insurance Berhad (LIB), sebuah syarikat subsidiari Liberty Mutual Insurance (Liberty), telah menerima kelulusan daripada Menteri Kewangan untuk mengambil alih AmGeneral Insurance Berhad (AmGeneral).
Setakat hari ini, AmGeneral dimiliki oleh AmBank Group (AmBank) sebanyak 51 peratus dan 49 peratus lagi dimiliki oleh Insurance Australia Group (IAG).
“Apabila perjanjian termeterai kelak, yang mana tertakluk kepada syarat-syarat penutupan yang ditetapkan, LIB bakal mengambil alih 100 peratus saham daripada AmGeneral, dan hasil jualan daripada saham AmBank adalah dalam bentuk tunai dan syer bersyarat, yang bakal menjadikan AmBank sebagai pemegang saham sebanyak 30 peratus daripada perniagaan LIB dan AmGeneral.
“LIB menjangkakan perjanjian jual beli akan ditandatangani pada Julai 2022. Pengumuman lanjut akan dibuat dalam masa terdekat,” kata syarikat itu dalam kenyataan.
Tambahnya, sebagai sebahagian daripada transaksi ini, entiti yang akan digabungkan akan memeterai satu kerjasama bankasurans eksklusif dengan AmBank selama 20 tahun untuk mengedarkan produk insurans am.
Operasi AmGeneral dan LIB bakal digabungkan secara rasmi pada satu tarikh yang akan diumumkan kelak, jelasnya lagi.
Presiden Peruncitan Global Pasaran Timur & Ketua Pegawai Operasi Liberty Mutual, Defne Turkes berkata, ia merupakan detik transformasi bagi Liberty di Malaysia.
“Kelulusan ini memperkukuhkan lagi proses bagi menyempurnakan perjanjian dan integrasi dengan AmGeneral, dan juga menzahirkan kejayaan yang bakal dicapai bersama,” katanya.
AmGeneral telah menawarkan perkhidmatan insurans di Malaysia dengan 1,400 kakitangan di 33 buah cawangan. Ia merupakan syarikat insurans kenderaan bermotor yang menduduki tangga tiga teratas dengan perniagaan yang berkembang
maju dengan rangkaian produk-produk tambahan.
Syarikat menawarkan produk insurans peribadi dan komersial di bawah jenama AmAssurance dan Kurnia melalui lebih 6,000 ejen, broker, pengedar kereta, francais dan rakan niaga bersekutu, serta menerusi keupayaan langsung dan digital yang berkembang pesat.
LIB pula beribu pejabat di Kuala Lumpur, disokong oleh 450 warga kerja dari enam pejabat serantau dan 24 cawangan di seluruh negara.
Syarikat itu menawarkan produk insurans peribadi, komersial dan produk lain melalui saluran yang luas termasuk 2,000 ejen insurans, pemegang francais, pengedar kereta dan rakan bankasurans. LIB menyediakan perkhidmatan yang mudah dan boleh diakses dengan mudah dari mana sahaja. – UTUSAN










