Kejatuhan ringgit jejaskan PKS

Kejatuhan ringgit jejaskan PKS

PKS mahukan insentif untuk bersama-sama ke arah teknologi baharu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kejatuhan ringgit telah memberi impak yang sangat teruk kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan kerana terpaksa berdepan dengan kenaikan kos bahan mentah.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Abdul Halim Husin berkata, barang keperluan makanan sebanyak 23 peratus yang diimport dari luar negara, bersamaan dengan RM60 bilion setahun telah menyebabkan kenaikan lebih 10 peratus jika ditukar kepada dolar Amerika Syarikat (AS).

“Jadi secara semula jadinya, ia telah menaikkan harga barang sebanyak 10 peratus. Tetapi oleh kerana peniaga kini juga sedang mengumpul semula modal untuk menutupi kerugian yang dialami semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, mereka terpaksa menaikkan harga barang lebih daripada yang sepatutnya.

“Kami harap kerajaan boleh lakukan sesuatu tentang ringgit yang jatuh berbanding dolar AS dan inflasi yang semakin naik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia, Chin Chee Seong berkata, impak kejatuhan ringgit yang telah menyebabkan barangan import lebih mahal daripada nilai ringgit akan menyebabkan pengguna lebih berhati-hati ketika berbelanja.

“Itu sekali gus akan menyebabkan peningkatan harga barangan tempatan yang dikeluarkan oleh PKS kerana PKS tiada pembelian kuantiti daripada luar negara.

“Bila tiada pembelian kuantiti, kos akan menjadi lebih tinggi sebab kami tiada diskaun volum, itu seterusnya akan ditanggung oleh pengguna ketika membeli.

“Ringgit bukan sahaja memberi impak kepada kos bahan mentah, malah kos pengeluaran dan kos pekerja tempatan yang tinggi.

“Apabila pengguna kurang berbelanja, ia akan mewujudkan satu kitaran yang akan menyebabkan perniagaan menjadi teruk,” katanya.

Semalam, ringgit didagangkan kekal rendah berbanding dolar pada kadar 4.3975/3950 berbanding 4.3815/3880 Jumaat lalu.

Mengulas mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), beliau menyokong pelaksanaan semula namun kadarnya dicadang diturunkan ke paras lebih rendah yang tidak akan membebankan rakyat.

Beliau juga berharap GST dikembalikan secepat mungkin kerana ia adalah rejim percukaian yang lebih telus dan berkesan berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Namun, situasi semasa mungkin akan menyebabkan penangguhan pengumuman pelaksanaan GST tetapi kami berharap kerajaan akan mengembalikan ia dengan kadar yang lebih rendah,” katanya.

Sementara itu, Abdul Halim berpendapat, sekiranya GST dilaksanakan semula, pihaknya mencadangkan ia dilaksanakan pada kadar yang lebih rendah seperti 3.0 atau 4.0 peratus berbanding 6.0 peratus yang pernah dilaksanakan sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN