BENGALURU: Saham dan mata wang Asia bercampur-campur pada Rabu, disebabkan dolar Amerika Syarikat (AS) yang kembali kukuh, hasil Perbendaharaan yang lebih tinggi dan kebimbangan mengenai inflasi.
Kebimbangan global terhadap inflasi memuncak semula selepas data menunjukkan inflasi pengguna di blok Eropah melonjak ke paras rekod.
“Data nampaknya akan diterjemahkan kepada tekanan yang lebih besar untuk Bank Pusat Eropah (ECB) mengetatkan (kadar faedah) dengan kenaikan 50 mata asas pada mesyuarat Julai,” kata Yeap Jun Rong, pakar strategi pasaran di IG.
Dolar AS meningkat 0.2 peratus, menekan mata wang di Asia. Mendahului senarai rugi ialah dolar Taiwan dan yuan China yang masing-masing turun sebanyak 0.4 peratus, lapor Reuters.
Dolar Singapura pula jatuh 0.3 peratus, diikuti oleh baht Thai yang susut 0.2 peratus. Bagaimanapun, rupee India menjadi antara mata wang yang untung apabila mengukuh 0.1 peratus.
Pertumbuhan ekonomi India bagaimanapun perlahan ke paras terendah dalam setahun dalam tempoh tiga bulan pertama 2022, menurut data yang dikeluarkan semalam.
“Kami percaya pemulihan semasa tidak mampan, disebabkan oleh inflasi yang lebih tinggi, dasar monetari yang lebih ketat dan kelembapan pertumbuhan global,” kata penganalisis di firma penyelidikan Nomura.
Sementara itu, harga minyak meningkat pada awal sesi dagangan Asia selepas pemimpin Kesatuan Eropah bersetuju dengan larangan separa dan berperingkat ke atas minyak Russia dan China pula menamatkan penutupan Covid-19 di Shanghai.
“Harga tenaga yang lebih tinggi merupakan masalah besar bagi bank pusat yang bimbang tentang jangkaan inflasi… dan pelabur EM (pasaran baharu muncul) sedang menimbang kesan ke atas akaun semasa dan imbangan fiskal ekonomi pengimport minyak,” kata Stephen Innes, rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management.
Sementara itu, dalam radar pelabur Asia ialah tinjauan sektor swasta yang menunjukkan aktiviti kilang China kembali aktif dengan ketara pada Mei apabila sekatan Covid-19 dilonggarkan dan beberapa pengeluaran diteruskan.
Innes berkata, jika China terus meningkatkan sokongan rangsangan untuk ekonominya, “ia akan mewujudkan lantunan organik, namun memberi amaran bahawa ketidakpastian daripada sekatan berkaitan Covid-19 kekal ada.
Pasaran ekuiti bercampur-campur. Saham di Malaysia dan Filipina susut masing-masing 0.7 peratus dan 0.6 peratus, dengan Thailand pula mencatatkan kejatuhan 0.3 peratus.
Saham Singapura dan India merupakan pasaran tunggal yang merekodkan keuntungan di rantau ini, apabila masing-masing naik 0.6 peratus dan 0.2 peratus.
Dagangan berkurangan di Asia disebabkan penutupan pasaran di Korea Selatan dan Indonesia kerana cuti umum. Tumpuan pelabur sebahagian besarnya akan tertumpu kepada data pekerjaan dan pengangguran AS lewat minggu ini. – AGENSI










