Pak Lan Tikam Batu ‘Raja Durian’

Pak Lan Tikam Batu ‘Raja Durian’

ROSLAN Abdul Razak menunjukkan durian yang dijual di Tikam Batu, Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS menamatkan persekolahan di tingkatan lima, Roslan Abdul Razak, 52, mula mengusahakan perniagaan bu­ah durian secara sepenuh masa dengan berbekalkan mo­dal sebanyak RM200.

Pemilik syarikat pemborong durian, Milla Enterprise itu yang mula minat berniaga sejak di bangku sekolah rendah berkata, dia memulakan perniagaan tersebut dengan mendapatkan bekalan buah durian daripada penduduk kampung sebelum dijual di tepi jalan dan pasar malam di sekitar daerah ini.

Katanya, ilmu perniagaan buah durian itu dipelajari daripada arwah datuk dan ayahnya, Abdul Razak Md. Zain, 74, ketika membantu mereka menjual buah-buahan serta ikan selepas pulang dari sekolah.

“Saya dengan bantuan keluarga membeli sebuah kereta terpakai untuk kemudahan me­ngangkut buah durian di kampung-kampung sebelum buah tersebut dijual,” katanya ketika ditemui di Tikam Batu di Sungai Petani, baru-baru ini.

Roslan yang lebih dikenali sebagai Lan Tikam Batu berkata, pada masa ini, dia berbangga apabila perniagaannya semakin maju dan menjadi antara pemborong durian terbesar di Kedah.

ROSLAN Abdul Razak di hadapan Kafe Milla Hana Pulut Kedah yang menjual minuman dan makanan berasaskan durian di Tikam Batu, Sungai Petani, baru-baru ini.

Menurutnya, dia sekarang juga mendapatkan bekalan buah durian dari beberapa ne­geri seperti Pulau Pinang, Perak dan Pahang.

Malah katanya, dia turut me­ngimport buah durian dari Thailand untuk memenuhi permintaan yang tinggi di pasaran tempatan.

Jelasnya, pada masa ini, dia juga memiliki sebanyak 10 buah lori dan 20 orang pekerja.

“Antara jenis durian yang dijual adalah musang king, duri hitam, udang merah, holor, ikan emas, bunga merah, D4 dan D5.

“Harga durian musang king dan duri hitam paling mahal boleh mencecah RM80 hingga RM130 sekilogram,” ujarnya.

Tambahnya, pada masa ini, dia secara purata menjual kira-kira lima tan durian sehari termasuk di luar Kedah seperti Kuala Lumpur dan Johor.

Selain itu, katanya, dia juga membekalkan durian musang king dan duri hitam kepada syarikat yang mengeksport ‘raja buah’ itu ke luar negara.

“Pada musim perayaan baru-baru ini, ramai warga kota pulang ke kampung di Kedah, Alhamdulillah dalam masa 10 hari sebanyak 30 tan durian terjual,” katanya.

ROSLAN Abdul Razak menunjukkan sebahagian menu berasaskan durian di Kafe Milla Hana Pulut Durian di Tikam Batu, Sungai Petani.

Dalam pada itu, menurutnya, perniagaan buah durian mempunyai risiko tinggi termasuk buah rosak dan kejatuhan harga apabila berlaku lambakan buah.

“Jatuh bangun saya dalam bidang ini tak boleh diungkapkan dengan kata-kata, saya berniaga bukan memikirkan keuntungan semata-mata tetapi juga saya mahu berkongsi rezeki dengan orang ramai,” katanya.

Selain itu, katanya, dia juga membuka sebuah restoran, Kafe Milla Hana Pulut Kedah yang menjual minuman dan makanan berasaskan buah durian di Tikam Batu bermula 2017.

Katanya, antara menu yang disediakan di restoran itu adalah pulut durian musang king, pulut durian telur buaya, pulut durian Balik Pulau, pulut durian kampung, cendol pulut musang king, cendol pulut durian kahwin, ais krim durian, durian crepe dan dadih durian.

“Insya-Allah saya akan membuka cawangan baharu Kafe Milla Hana Pulut Kedah di Aman Jaya, Sungai Petani pada Jun ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN