Komer Coffee keenakan sebenar kopi kampung

Komer Coffee keenakan sebenar kopi kampung

RAIHAN Shafiqah Ismail melihat anak pokok kopi di tapak semaian di Talang Hulu, Kuala Kangsar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TREND minuman berasaskan kopi yang semakin popular sejak kebelakangan ini mencetuskan idea bagi seorang wanita, Raihan Shafiqah Ismail, 34, untuk mengusahakan perniagaan biji kopi panggang.

Apa yang menariknya, Raihan Shafiqah memilih kopi jenis Robusta atau kopi kampung sebagai perniagaannya.

Memulakan perniagaan sejak tujuh bulan lalu dengan jenama Komer Coffee, Raihan Shafiqah yang memilih perniagaan itu dengan hasrat mahu mengembalikan keenakan kopi kampung yang menjadi minuman kegemaran orang dahulu.

Katanya, kopi Robusta atau kopi kampung juga tidak kurang enak dan berkhasiat berbanding kopi jenis Arabica yang popular penggunaannya dalam minuman berasaskan kopi di negara ini.

“Kalau sebut kopi, orang biasa dengar kopi Arabica tetapi kopi jenis ini biasanya ditanam di tanah tinggi.

“Kopi Robusta lebih sesuai dengan iklim di negara selain kopi jenis ini tahan lama dan rasanya macam rasa kopi kampung, sedikit pahit dan mempunyai kafein yang tinggi.

“Saya mahu membawa semula rasa dan keenakan kopi kampung, saya mahu mengembalikan keenakan kopi kampung dalam kalangan penggemar minuman berasaskan kopi,” katanya.

RAIHAN Shafiqah Ismail menunjukkan kopi panggang jenama Komer Coffee. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

Raihan Shafiqah, pemegang Ijazah Kaunseling Universiti Malaya (UM) berkata, buat masa ini dia memproses biji kopi panggang secara kecil-kecilan di rumahnya di Talang Hulu, Kuala Kangsar.

Katanya, buat permulaan, perniagaannya hanya mengeluarkan bungkusan kopi panggang satu saiz sahaja iaitu seberat 500gram yang dijual pada harga RM30 setiap peket.

Jelasnya, bekalan biji diperoleh daripada semaian dan kopi yang ditanam penduduk kampung.

“Buat masa ini pasaran masih tertumpu di sekitar Perak dan dijual kepada pengusaha barista dan penjual kopi di gerai tepi jalan.

“Saya dalam usaha mengembangkan pasaran ke Lembah Klang kerana di sana terdapat banyak komuniti atau penggemar minuman kopi.

“Malah, saya menerima pertanyaan daripada peminat minuman kopi di negeri-negeri lain termasuk rakan saya di Filipina,” katanya.

Raihan Shafiqah yang merupakan Ahli Koperasi Graduan Perak Berhad berkata, perniagaan kopi panggang mempunyai potensi untuk berkembang ketika minuman berasaskan kopi semakin viral dan digemari ramai di negara ini.

Katanya, dia memilih memperkenalkan kopi tempatan kerana bahan itu tidak perlu diimport.

“Saya mahu tonjolkan di negara kita pun ada kopi bermutu, jadi minumlah kopi tempatan, kita ada kopi tempatan bermakna penggemar ada pilihan untuk kopi tempatan,” katanya.

Kopi panggang jenama Komer Coffee.

Menurutnya, kopi panggang yang diusahakannya hanyalah permulaan kerana dia bercadang untuk menambah produk berasaskan kopi iaitu serbuk dan minuman berasaskan kopi di bawah jenama Komer Coffee.

“Saya berharap produk yang saya hasilkan ini akan dikenali, saya mahu penggemar kopi merasai keenakan kopi kampung, rasa kampung seperti zaman opah-opah kita dahulu.

“Mereka yang merasai kopi Robusta memang mengakui keenakannya, seperti kopi zaman dahulu yang mana pokoknya di tanam dekat rumah,” katanya.

Menurutnya, dia mempunyai pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi melakukan kajian mengenai kopi jenis Robusta agar rasanya tidak terlalu pahit.

“Pada pandangan saya, sebenarnya hanya skema kopi Robusta pahit, tetapi sebenarnya rasa pahitnya sedikit, hanya pahit di lidah.

“Jadi saya mahu buang stigma apabila disebut kopi, ia minuman yang pahit dan menjadikan kopi kampung sebagai pilihan kepada penggemar minuman berasaskan kopi,” katanya.

Maklumat lanjut atau langganan kopi panggang ini boleh dibuat menerusi Facebook Komer Coffee dan Instagram Komer Coffee Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN