Inflasi Malaysia meningkat 2.5 peratus pada 2021

Inflasi Malaysia meningkat 2.5 peratus pada 2021

Inflasi produk makanan terus meningkat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Inflasi Malaysia pada 2021 meningkat 2.5 peratus didorong oleh kenaikan harga makanan dan bahan api, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu juga tertinggi dibandingkan 0.7 peratus yang direkodkan semasa
pra pandemik 2019.

“Sebanyak 184 item makanan daripada keseluruhan 552 item dalam “bakul” IHP mencatatkan kenaikan,” katanya dalam kenyataan.

Kata beliau, pandemik Covid-19 telah memberi kesan kepada kehidupan seharian masyarakat.

Namun begitu, katanya, usaha kerajaan dalam melaksanakan pemberian vaksin percuma kepada rakyat telah membantu memulihkan keyakinan perniagaan dan seterusnya meningkatkan keyakinan pengguna untuk keluar berbelanja.

“Selain itu, kebenaran rentas negeri dan semua sektor ekonomi telah dibuka semula bermula pada 11 Oktober 2021. Ini telah menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara terutamanya dalam sektor pengedaran dan peruncitan. Secara keseluruhannya, kenaikan inflasi 2.5 peratus adalah disumbangkan oleh indeks Pengangkutan (11.0%); Makanan & Minuman (1.7%); Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (1.6%) dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (1.5%) yang menyumbang 72.0 peratus kepada keseluruhan wajaran IHP,” katanya.

Tambah Mohd. Uzir, sebanyak 80.0 peratus komponen makanan dalam kumpulan Makanan & Minuman mencatatkan peningkatan.

Jelasnya, pada 2021, kesemua subkumpulan bagi Makanan & Minuman yang mempunyai sumbangan terbesar di dalam bakul IHP, mencatatkan peningkatan antara 0.3 peratus hingga 3.3 peratus, sementara, subkumpulan Minyak & lemak merupakan penyumbang utama kepada peningkatan kumpulan ini dengan kenaikan 3.3 peratus.

Ia diikuti oleh daging (3.2%); ikan & makanan laut (3.1%); susu, keju & telur (2.3%); keluaran makanan tidak terkelas di tempat lain (2.3%) dan sayur-sayuran (2.1%).

“Peningkatan harga komoditi global telah memberi kesan kepada inflasi makanan. Peningkatan harga ayam yang melebihi purata harga ayam pada tahun 2020 adalah impak daripada kenaikan harga stok makanan haiwan. Di samping itu, peningkatan dalam inflasi makanan pada 2021 juga turut dipengaruhi oleh peningkatan harga makanan global yang kebanyakannya merupakan input utama kepada produk makanan tempatan. Peningkatan akan memberi kesan kepada semua golongan isi rumah terutamanya kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah,” jelas beliau lagi.

Mohd. Uzir berkata, kekurangan bekalan import, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan 3.0 serta penutupan sempadan negara adalah antara
faktor yang mempengaruhi turun naik harga di pasaran tempatan.

Selain itu kata beliau, kesan asas penetapan harga siling Petrol Tanpa Plumbum RON95 (RM2.05 seliter) dan Diesel (RM2.15 seliter) yang bermula Mac 2021 telah mendorong kepada peningkatan dua digit (11.0%) inflasi Pengangkutan.

“Purata harga Petrol Tanpa Plumbum RON97 pada 2021 mencatatkan peningkatan tertinggi sepanjang 10 tahun dengan kenaikan sebanyak 32.9 peratus (2021: RM2.65/ liter) berbanding tahun sebelumnya (2020: RM1.99/ liter). Selain itu, purata harga Petrol Tanpa Plumbum RON95 turut meningkat 21.1 peratus kepada RM2.03 per liter berbanding RM1.67, manakala purata harga Diesel meningkat 18.6 peratus kepada RM2.14 per liter daripada RM1.80 seperti yang direkodkan pada tahun sebelumnya,” katanya.

Inflasi bandar pada 2021 meningkat 2.4 peratus berbanding negatif 1.1 peratus yang direkodkan pada tahun sebelum ini.

“Inflasi bagi kumpulan pendapatan di bawah RM3,000 meningkat 2.2 peratus pada 2021 berbanding 2020 (-1.0%). Kumpulan pengangkutan menyumbang peningkatan tertinggi 13.3 peratus berbanding negatif 12.0 peratus yang direkodkan pada 2020,” jelas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN