Indonesia lancar skim percepat eksport sawit - Utusan Malaysia

Indonesia lancar skim percepat eksport sawit

Kemasukan semula sawit Indonesia ke pasaran eksport telah menurunkan harga komoditi itu. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Indonesia melancarkan skim pecutan eksport untuk menghantar sekurang-kurangnya satu juta tan minyak sawit mentah dan derivatif berikutan larangan eksport baru-baru ini, menurut peraturan kementerian perdagangan yang diumumkan pada Khamis.

Peraturan itu berkuat kuasa serta-merta dan skim pecutan terpakai sehingga 31 Julai.

Menurut peraturan yang ditandatangani pada kelmarin, sekiranya kuota penghantaran yang lebih besar diperlukan, kuota itu boleh melebihi had satu juta.

Indonesia, pengeluar minyak sawit terkemuka dunia, membenarkan eksport disambung semula mulai 23 Mei selepas larangan tiga minggu yang bertujuan untuk menampung bekalan minyak masak tempatan dan mengekalkan harga yang terkawal.

Penghantaran telah lambat untuk dimulakan semula, bagaimanapun, kerana pengeksport menghadapi halangan dengan keperluan baharu yang direka untuk memastikan bekalan domestik. 

Kesesakan itu telah menyukarkan keadaan para petani yang bergelut untuk menjual buah sawit berikutan kebanyakan tangki simpanan di kilang telah penuh.

“Program pecutan itu dijalankan oleh kerajaan bagi mengekalkan kestabilan pengeluaran dan harga buah tandan segar di peringkat penanam,” menurut peraturan itu.

Secara purata, Indonesia mengeksport minyak sawit antara 2.5 juta hingga 3.0 juta tan sebulan sebelum larangan itu, yang berlaku pada masa ketidaktentuan global terhadap bekalan minyak sayuran.

Kerajaan juga menurunkan kadar maksimum cukai eksport dan levi minyak sawit mentah kepada AS$488 satu tan daripada AS$575 satu tan bagi menggalakkan penghantaran.

Syarikat yang menyertai program pecutan eksport mesti memberikan maklumat mengenai inventori penyimpanan mereka, antara lain, kepada platform dalam talian kementerian perdagangan.

Selepas menarik balik larangan eksport, kerajaan memperkenalkan keperluan jualan domestik di mana pengeksport minyak sawit diberi kuota eksport hanya selepas menjual beberapa produk mereka di dalam negara. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN