JAKARTA: Menteri Perdagangan Indonesia, Muhammad Lutfi pada Selasa memberitahu kerajaan akan menurunkan gabungan eksport minyak sawit mentah maksimum dan kadar levi kepada AS$488 (RM2,143.78) setiap tan daripada AS$575 (RM2,525.97) setiap tan untuk menggalakkan penghantaran.
Negara pengeluar minyak sawit terbesar dunia itu telah membenarkan eksport minyak sawit disambung semula selepas larangan selama tiga minggu, tetapi kemajuan adalah perlahan disebabkan kerenah birokrasi yang mengekalkan tangki simpanan kilang sawit penuh.
Petani mengadu harga buah sawit kekal rendah kerana kilang masih mengehadkan pembelian mereka.
Lutfi berkata, kerajaan akan menaikkan cukai maksimum kepada AS$288 (RM1,265.18) setiap tan, tetapi menurunkan levi maksimum kepada AS$200 (RM878.60) setiap tan.
“Indonesia pada masa ini mengenakan bayaran maksimum AS$200 (RM878.60) setiap tan untuk cukai eksport dan maksimum AS$375 (RM1,647.38) setiap tan untuk levi,” katanya.
Bagaimanapun, Lutfi tidak menyatakan bila bayaran baharu itu akan dikenakan.
Menurut pegawai kanan Kementerian Perdagangan, Oke Wan berkata, jumlah caj cukai dan levi semasa adalah membebankan.
Ujarnya, eksport mesti mengalir kerana tangki simpanan sudah penuh.
Lapor Reuters, Indonesia mengharamkan eksport minyak sawit mentah dan beberapa derivatifnya mulai 28 April lalu selama tiga minggu dalam usaha untuk mengawal harga minyak masak domestik yang melambung tinggi, yang diperbuat daripada minyak sawit.
“Bagi memastikan bekalan minyak sawit dalam negeri selamat selepas larangan itu ditarik balik, kerajaan telah menetapkan dasar yang menyatakan pengeluar mesti menjual sebahagian daripada produk mereka ke pasaran tempatan sebelum mereka diberikan permit eksport.
“Kumpulan industri meminta kerajaan membenarkan kuota eksport yang lebih besar dalam tempoh peralihan untuk mengosongkan simpanan selepas beberapa kilang sawit berhenti membeli buah sawit daripada petani,” katanya.
Lutfi menjelaskan, pihaknya sedang melihat semula cadangan itu selain syarikat dibenarkan mengeksport lima kali ganda jumlah yang telah mereka jual di dalam negara. -AGENSI