SHAH ALAM: Syarikat reka bentuk dalaman, IDW Design & Build Sdn. Bhd. (IDW) komited untuk meraih pendapatan syarikat sehingga RM30 juta, pada tahun ini.
Pengasas IDW, Lokman Hakim Ahmad Subki berkata, jumlah tersebut disasar berdasarkan sambutan tawaran perkhidmatan serta jumlah projek yang diterima ketika ini, susulan pembukaan semula sektor ekonomi lebih luas sejak April lalu.
“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa, banyak projek kami tidak dapat dilaksanakan, namun bersyukur kerana kebanyakan klien tidak membatalkannya dan menunggu sehingga penguatkuasaan sekatan pergerakan itu tamat.
“Mereka memahami situasi tersebut dan kami bukan sengaja melengah-lengahkan tempahan, tetapi keadaan pada ketika itu menyebabkan kami tidak dapat memulakan kerja,” katanya ketika ditemui semasa majlis perasmian Wisma IDW di Setia Alam, di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Lokman Hakim turut menzahirkan penghargaan terhadap pelancaran wismanya yang bernilai kira-kira RM5 juta kerana amat diperlukan untuk memastikan pekerja melakukan kerja dengan suasana lebih kondusif.
Menurutnya pelaburan itu disifatkan sebagai langkah berani bersama isterinya, Rabiatul Adawiyah Rasol yang juga pengasas IDW apabila membeli bangunan tersebut ketika negara sedang dilanda Covid-19 pada 202p.
“Selepas saya dan Rabiatul melakukan solat sunat Istikharah beberapa kali, kami ambil keputusan untuk beli bangunan ini,” katanya.
Jelas Lokman Hakim lagi, IDW merancang untuk membina sebuah kilang yang mengeluarkan beberapa barang yang digunakan untuk mereka bentuk dalaman bangunan pada masa akan datang.
Katanya, beliau sedang mengenal pasti beberapa lokasi yang sesuai bagi pembinaan kilang itu dan akan memaklumkannya apabila bersedia nanti.
“Kalau tak bina kilang, mungkin kita akan cuba beli saham syarikat yang menjalankan perniagaan ini,” jelasnya. – UTUSAN









