Harga komoditi lebih tinggi dorong kenaikan IHPR

Harga komoditi lebih tinggi dorong kenaikan IHPR 

MOHD. UZIR MAHIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga komoditi yang lebih tinggi mendorong peningkatan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia pada Mei kepada 11.2 peratus berbanding 11 peratus bulan sebelumnya.

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, peningkatan dalam IHPR disumbangkan oleh indeks perlombongan yang meningkat 20.6 peratus daripada 18.4 peratus pada April 2022.

Turut meningkat ialah indek pertanian, perhutanan dan perikanan sebanyak 16.7 peratus disumbangkan terutamanya oleh kenaikan dalam indeks bagi penanaman tanaman kekal (21.2 peratus), perikanan (11.3 peratus) dan penanaman tanaman tidak kekal (7.8 peratus).

“Pada Mei 2022, indeks pembuatan mencatatkan peningkatan dua digit 10.1 peratus buat kali pertama sejak Ogos 2011 (10.6 peratus) dengan 10.1 peratus, dipacu oleh kenaikan dalam indeks subsektor pembuatan minyak & lemak daripada sayuran & haiwan (24.5 peratus), pembuatan produk petroleum bertapis (22.9 peratus) dan pembuatan kimia asas, baja & sebatian nitrogen, plastik & getah sintetik dalam bentuk primer (13.3 peratus).

“Sementara itu, indeks bekalan air meningkat 1.2 peratus, manakala, indeks bekalan elektrik & gas menurun 0.6 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Mohd. Uzir berkata, dari bulan ke bulan pula, IHPR pengeluaran tempatan meningkat 1.2 peratus berbanding 0.2 peratus pada bulan sebelumnya, disumbang oleh indeks perlombongan yang mencatatkan 4.0 peratus (April 2022: -6.6 peratus) disumbangkan oleh kenaikan pada indeks minyak mentah (4.3 peratus) dan gas asli (3.1 peratus).

Kata beliau, pada masa yang sama, indeks pembuatan meningkat 1.0 peratus disokong oleh kenaikan dalam indeks bagi subsektor pembuatan minyak & lemak daripada sayuran & haiwan (2.6 peratus), pembuatan produk petroleum bertapis (1.3 peratus) dan pembuatan peralatan elektronik pengguna (1.1 peratus).

Indeks Pertanian, perhutanan & perikanan turut meningkat 0.9 peratus (April 2022: -2.9 peratus), dipacu oleh kenaikan dalam indeks ayam (3.8 peratus) dan buah tandan segar kelapa sawit (0.8 peratus).

“Selain itu, indeks sayur-sayuran seperti kangkung, timun, sawi, kacang panjang dan kubis bulat turut meningkat. Indeks bekalan air meningkat 0.1 peratus, manakala, indeks bekalan elektrik & gas menurun 0.5 peratus,” katanya.

Tambah Mohd. Uzir, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya meningkat 17.3 peratus pada Mei 2022 berbanding 17.1 peratus direkodkan pada April 2022.

“Indeks barang siap turut mencatatkan peningkatan pada Mei 2022 dengan 1.0 peratus (April 2022: 1.1 peratus), disokong oleh peningkatan dalam indeks Makanan pengguna siap (6.5 peratus),” jelas beliau.

Mohd. Uzir berkata, peningkatan dua digit dalam IHPR Malaysia adalah selari dengan kenaikan inflasi di peringkat pengeluar bagi beberapa negara terpilih yang yang dipengaruhi oleh faktor kekurangan bekalan terutama bahan mentah berikutan kelonggaran sekatan, pembukaan ekonomi serta perang antara Russia dan Ukraine.

Kata beliau, inflasi di peringkat pengeluar bagi United Kingdom (UK) meningkat 15.7 peratus pada Mei didorong oleh harga yang lebih tinggi bagi bahan api dan bahan mentah yang meningkat lebih daripada 22.0 peratus tahun ke tahun.

Di Amerika Syarikat pula, peningkatan harga gasolin dan produk-produk tenaga menyumbang kepada kenaikan 10.8 peratus bagi inflasi di peringkat pengeluar.

“Situasi yang sama berlaku kepada negara Asia Selatan seperti Thailand, di mana inflasi di peringkat pengeluar mencatatkan kenaikan 13.3 peratus pada Mei 2022 (April 2022: 12.8 peratus). Peningkatan ini disumbangkan oleh kenaikan dalam sektor pembuatan dan perlombongan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN