PETALING JAYA: Funding Societies, platform pembiayaan digital PKS terbesar di Asia Tenggara, mengumumkan pengambilalihan perkhidmatan pembayaran serantau, CardUp untuk jumlah yang tidak didedahkan.
Menerusi langkah ini, Funding Societies akan memperoleh keupayaan pembayaran komersial CardUp seperti pembayaran-melalui-kad kepada penerima yang tidak mempunyai kemudahan penerimaan pembayaran kad (bagi
transaksi dalam dan luar negeri).
Kemudahan lain ialah penerimaan pembayaran dalam talian, perisian automasi invois serta lesen-lesen berkenaan dan penyepaduannya dengan perisian perniagaan pihak ketiga terkenal.
“Perkhidmatan pembayaran CardUp ini akan melengkapi produk pembiayaan Funding Societies, untuk menawarkan pengalaman kewangan yang disatukan untuk PKS serantau, membolehkan PKS mengurus dan membuat pembayaran perbelanjaan, menerima
pembayaran, serta membuat pinjaman pembiayaan melalui satu platform digital,” jelas syarikat itu dalam kenyataan.
Pengumuman itu susulan berita pendanaan Siri C+ yang diraih platform tersebut sebanyak AS$294 juta (RM1.29 billion) pada Februari 2022, di mana AS$144 juta (RM634 juta) diperolehi melalui ekuiti, diikuti pelaburan dalam Bank Index di Indonesia, pelancaran kad maya perniagaan Elevate di Singapura dan kemasukannya ke pasaran kelima iaitu Vietnam.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Funding Societies|Modalku, Kelvin Teo berkata, pengambilalihan CardUp akan meningkatkan jangkauan dan mempercepatkan aspirasi syarikat dalam menjadi peneraju pasaran FinTech serantau.
“(Ia juga) menyepadukan keupayaan pembayaran, mempertingkatkan pengalaman pengguna dan pelesenan tempatan yang berkait rapat dengan pinjaman digital yang kami sediakan di pasaran-pasaran utama rantau Asia Tenggara.
“Kami teruja untuk bekerjasama bersama pasukan CardUp sekali gus berbesar hati untuk bergabung tenaga dengan mereka,” katanya. – UTUSAN










