BENGALURU: Harga emas melonjak dalam sesi dagangan semalam didorong minat belian berikutan berita rancangan Barat untuk mengharamkan secara rasmi import logam itu dari Russia berikutan pencerobohannya ke atas Ukraine.
Emas spot naik 0.5 peratus kepada AS$1,835.58 (RM8,085.72) seaun. Niaga hadapan emas di Amerika Syarikat (AS) meningkat 0.3 peratus kepada AS1,836.30 (RM8,088.90).
Harga minyak pula terus meningkat semalam, apabila pelabur berhati-hati terhadap sebarang tindakan ke atas eksport minyak dan gas Russia oleh pemimpin negara G7 yang bermesyuarat di Jerman.
Niaga hadapan minyak mentah Brent naik 22 sen, atau 0.2 peratus kepada AS$113.34 (RM499.26) setong selepas melantun semula 2.8 peratus pada Jumaat lalu. Minyak mentah AS West Texas Intermediate berada pada AS$107.73 (RM474.55) setong, naik 11 sen, atau 0.1 peratus, berikutan kenaikan 3.2 peratus pada sesi sebelumnya.
Pemimpin G7, yang mula bermesyuarat pada Ahad di Jerman, dijangka membincangkan pilihan untuk menangani kenaikan harga tenaga dan menggantikan import minyak dan gas Rusia, serta sekatan selanjutnya yang tidak memburukkan lagi inflasi.
Empat negara anggota G7 sebelum ini bertindak mengharamkan import emas Russia pada Ahad untuk mengetatkan sekatan ke atas Moscow dan memotong cara membiayai pencerobohan Ukraine.
Penganalisis kanan di OANDA, Jeffrey Halley berkata, larangan import oleh negara G7 ke atas emas Russia telah memberikan beberapa sokongan jangka pendek dalam sesi dagangan awal di Asia.
“Bagaimanapun, ia kebanyakannya merupakan latihan dalam realiti untuk kumpulan itu, dan saya tidak menjangka ia menandakan perubahan struktur dalam prospek penawaran atau permintaan yang akan menyokong harga,” katanya dalam satu nota.
Emas dilihat sebagai lindung nilai terhadap inflasi, tetapi kadar faedah yang lebih tinggi meningkatkan kos peluang untuk memegang jongkong itu.
“Secara keseluruhannya, emas kekal `terperangkap’ di tengah-tengah julat antara AS$1,780 hingga AS$1,880 sejak awal Mei, dan kita memerlukan pergerakan yang besar oleh dolar AS untuk mengubah dinamik itu,” kata Halley.
Sementara itu, Reuters melaporkan, dolar mendapat sokongan daripada pelabur yang bimbang tentang kemelesetan dengan mengekalkan pegangan terhadap mata wang berkenaan, untuk kekal di bawah paras tertinggi dua dekad semalam.
Dolar sebelum ini mengalami kemerosotan selepas data ekonomi AS yang lemah mengurangkan `pertaruhan’ terhadap kemungkinan berlaku lagi kenaikan kadar faedah negara kuasa ekonomi dunia itu.
Walaupun saham Asia mengikuti jejak Wall Street lebih tinggi, peniaga mata wang berhati-hati untuk melanjutkan jualan dolar kerana biasanya mata wang itu meningkat dalam masa ketidaktentuan.
Sementara itu, dolar Australia yang sensitif terhadap risiko, susut 0.3 peratus kepada $0.6918 berbanding dolas AS, dibebani oleh penurunan harga komoditi. Euro pula diniagakan pada $1.0563, manakala yen stabil pada 134.68 berbanding dolar.
Indeks dolar AS stabil pada 104.010, setelah mencapai kemuncak 20 tahun pada 105.79 awal bulan ini.
Harga hadapan menunjukkan peniaga kini menjangkakan kadar dana penanda aras Rizab Persekutuan (Fed) AS akan stabil sekitar 3.5 peratus dari Mac tahun depan.
Dolar New Zealand dalam pada itu didagangkan pada $0.6035, manakala sterling pada $1.2282.
Data aktiviti kilang China yang akan dikeluarkan akhir minggu ini boleh memberi panduan sama ada ekonomi kedua terbesar di dunia itu mendapat momentum semula selepas gangguan disebabkan oleh langkah penutupan Covid-19 yang ketat. Yuan China diniagakan stabil pada 6.6920 berbanding dolar. – AGENSI










