Suzuki GSX-S1000 jentera mantap mampu milik - Utusan Malaysia

Suzuki GSX-S1000 jentera mantap mampu milik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pasaran dunia semakin kurang meminati motosikal-motosikal variasi sport. Peralihan tumpuan dan kenaikan jumlah jualan terhadap motosikal Adventure, Naked/Street Sports atau Touring dilihat sebagai satu indikasi bahawa terdapat kumpulan sesaran yang telah beralih arah daripada tumpuan terhadap model-model ala perlumbaan motoGP atau Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK).

Ditengah-tengah pada kemeriahan variasi ini, Suzuki memperkenalkan model GSX-S1000, yang jika anda hanya membuat keputusan bersandarkan bacaan spesifikasi pada katalog atau daripada internet, anda mungkin akan terus mengalihkan pilihan anda pada jentera-jentera daripada Itali.

Sebelum anda membuat keputusan tersebut, ayuh baca dulu maklumat yang telah saya perolehi hasil pandu uji terhadap Suzuki GSX-S1000 ini.

PENAMPILAN 

Terdapat banyak bahagian GSX-S yang seolah-oleh dibuat seperti ‘melepaskan batuk di tangga’ sahaja. Sebagai contoh, meter LCD penuhnya tidak didatangkan dengan sistem TFT warna (yang telah menjadi kemestian pada model-model sejak 2020). Anda terpaksa merenung meter untuk membaca penunjuk waktu, apa lagi sekiranya anda ingin menjeling informasi-informasi jentera anda ketika anda sedang dalam penunggangan di kelajuan tinggi. Penunggangan di waktu siang dengan matahari terik yang memancar dari belakang penunggang juga turut menyukarkan anda membaca data-data di atas permukaan skrinnya. 

Nampaknya, atas dasar untuk menjimatkan kos dan harga jualan yang kompetitif, Suzuki masih menggunakan meter LCD yang rata-rata dikritik hebat pada model-model 2021 yang lepas. Tiada penyerap hentakan elektronik, serta penyerap hentakan tunggal belakang juga tiada kebolehan untuk dilaras kekenyalan dan penyerapannya. 

Lampu hadapan model 2022 ini menggunakan lampu LED yang disusun secara bertingkat, menggantikan lampu berbentuk konvensional. Rekaan terbaharu lampu hadapan GSX-S ini turut memberi kerisauan tentang kebolehan penyuluhannya di waktu malam.

Sepasang ‘sayap’ ditambah pada bahagian cowling tepi kiri dan kanan untuk menambah nilai estetika motoGP pada jentera Suzuki ini, namun adakah ia mempunyai fungsi atau sekadar hiasan semata?

Selain daripada fakta-fakta yang dinyatakan dan daripada pandangan mata kasar, tiada lagi pembaharuan yang ada pada model 2022 ini. Malah, enjin yang digunakan juga adalah enjin daripada model K-5 yang sememangnya terbukti ciptaan terbaik Suzuki sejak 2005, untuk jentera motosikal sport dan juga terbukti kehebatannya di litar-litar lumba.

PENUNGGANGAN

Di sini, segala kritikan saya terhenti. Suzuki GSX-S1000 ini menyerap hentakan dan ketidakrataan permukaan jalan raya dengan begitu baik, sama ada menunggang secara solo atau dengan pembonceng. Tiada langsung ketidakselesaan yang dibangkitkan daripada kesakitan punggung menahan hentakan, dibantu kusyen pelana yang sangat empuk. Menunggang dengan jarak jauh atau masa tunggangan yang lama tidak langsung memberi kesan negatif pada punggung atau tulang belakang. 

Padahal, penyerap hentakan hadapan jenis terbalik (USD Fork) adalah bekalan daripada KAYABA dan walaupun boleh laras tetapi perlu secara manual. Penalaan suspensi oleh kilang ternyata boleh terus diguna pakai dalam apa jua keadaan jalan raya dan cara tunggangan anda. Selain itu, suspensi tunggal belakang tiada pelaras gas yang selalunya menjadi peralatan standard motosikal berprestasi tinggi. Penggunaan pada keadaan dunia sebenar, ternyata diaplikasikan pada jentera ini.

Bagi kapasiti enjin 999cc sudah pasti memberikan tujahan kuasa dan kelajuan yang optimum. Namun, satu-satunya fungsi untuk model ini yang sangat menarik perhatian saya ialah sistem gear dengan pasangan peranti quickshifter yang sangat baik.

Tiada langsung keperluan untuk menarik tuas cekam atau menutup pendikit sama ada untuk menaikkan gear atau merendahkan nisbah gear anda. Setiap perubahan nisbah gear dapat dilakukan dengan sangat berkesan dan tanpa sebarang sentapan. 

Ini merupakan satu perubahan terbesar Suzuki sekali gus mampu meletakkan para saingannya di belakang.

Tarikan utama untuk model 2022 ini apabila ia tidak terlalu bergantung kepada peranti elektronik tetapi memberikan kepuasan sebenar pada penunggang yang tahu tentang pengendalian dan pencapaian prestasi optimum jentera mereka.

Apabila suspensi anda bekerja dengan baik dan berkebolehan untuk anda ‘meleper’ diselekoh-selekoh, tujahan kuasa ketika memulas pendikit untuk memotong kenderaan lain serta meningkatkan kelajuan tanpa sebarang gangguan, menyebabkan anda tidak lagi menghiraukan rekaan lampunya yang pelik, ketiadaan bantuan elektronik yang terkini pada model enjin serta sistem suspensi yang boleh dilaras secara otomatik atau elektronik.

Lebih menarik, harga jualannya adalah dalam lingkugan RM76,900 sahaja. Harga ini jauh lebih murah daripada harga pasaran pesaingnya.

Ketika kebanyakan model-model variasi naked 1000cc berharga sekitar RM100,000 seunit, Suzuki GSX-S1000 yang diimport sepenuhnya dari Jepun bakal membuatkan anda tidak tidur malam.

KESIMPULAN

Suzuki GSX-S1000 adalah sebuah jentera menarik untuk tunggangan laju, sesuai untuk tunggangan dalam bandar, di selekoh-selekoh tajam, serta perjalanan jarak jauh sama ada secara solo atau dengan pembonceng. Ternyata, inilah keseronokan penunggangan motosikal yang sebenar; prestasi enjin yang hebat, tunggangan yang sempurna serta kebolehan untuk ingin menunggang dengan lebih lama lagi.

Walaupun tiada sokongan elektronik yang seolah-olah menjadi ‘norma baharu’ bagi pengeluar jenama lain, GSX-S1000 tetap boleh memberikan prestasi umpama jentera berharga ratusan ribu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya