Ringgit terus susut, catat prestasi terendah dalam dua tahun - Utusan Malaysia

Ringgit terus susut, catat prestasi terendah dalam dua tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit mencatatkan prestasi terendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam hampir dua tahun pada kadar 4.4023 semalam, selepas mengalami penyusutan ketara berbanding 4.3365 yang direkodkan sejak awal bulan ini.

Kali terakhir ringgit mencecah paras terendah berbanding dolar ialah pada 24 Mac 2020 apabila didagangkan pada 4.4385/4.4385.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, keadaan ini berlaku kerana keyakinan pelabur dan pemain antarabangsa yang agak luntur terhadap ekonomi negara.

Selain itu katanya, permintaan dan penawaran ke atas ringgit turut berdasarkan imbangan perdagangan negara yang positif justeru kerajaan perlu meningkatkan eksport bagi membantu peningkatan ringgit.

“Sebenarnya, dolar AS ketika ini melemah namun kerajaan AS menutup kelemahan itu dengan mengumumkan kadar faedah lebih tinggi, yang akan berlanjutan sehingga enam suku akan datang. 

“AS memberi harapan besar kepada pelabur yang nilai dolar mereka akan meningkat jadi ramai yang membuat penukaran kepada dolar AS. Jadi, permintaan bagi dolar meningkat berbanding semua mata wang di dunia,” katanya ketika dihubungi.

Jelas beliau, di Asia, nilai mata wang negara agak lemah berbanding negara lain walaupun sebenarnya ringgit mengukuh jika dibandingkan dengan Thailand (baht) dan Jepun (yuan).

“Dalam jangka panjang, dolar AS akan semakin lemah kerana kebanyakan negara seperti Arab Saudi dan Rusia telah mula menjalankan urus niaga antarabangsa mereka menggunakan mata wang lain selain dolar AS.

“Contohnya, Arab Saudi menggunakan mata wang euro, China (yuan) dan Rusia (rubel) untuk urus niaga minyak dan gas kerana mereka mahu ‘berpisah’ daripada AS. Ini memberi peluang kepada Malaysia untuk melakukan perkara yang sama seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada mata wang AS,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, nilai ringgit buat masa ini banyak dipengaruhi oleh faktor luaran seperti kadar faedah di Amerika Syarikat (AS).

“Ia akan memberi dua kesan. Kesan pada import adalah kos untuk mengimport yang menaik disebabkan pengimport perlu menyediakan sejumlah matawang tempatan yang lebih bagi membeli barangan import.

“Namun bagi pengeksport, harga barangan menjadi lebih murah dan itu akan memberi insentif yang tinggi kepada pelanggan di luar negara untuk membeli lebih banyak barangan Malaysia,” katanya.

Selain itu, ujarnya, pelancong asing juga berminat untuk melancong ke Malaysia berikutan mata wang ringgit yang lemah bakal memberi kuasa beli yang tinggi kepada mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.