Prestasi Bursa, ringgit dijangka lebih baik - Utusan Malaysia

Prestasi Bursa, ringgit dijangka lebih baik

BURSA Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prestasi ringgit dan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka lebih baik pada minggu ini berikutan pengumuman keputusan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) di Amerika Syarikat (AS) yang telah menaikkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas serta pelan untuk mengurangkan kunci kira-kira bermula 1 Jun ini.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, pengumuman itu dilihat banyak membantu merungkai kebimbangan terhadap proses kenaikan kadar faedah, yang sebelum ini terdapat khabar angin ia bakal dinaikkan sebanyak 75 mata asas.

“Namun, pengerusi Riza Persekutuan AS memberitahu, kebanyakan ahli FOMC tidak bercadang untuk menaikkan kadar faedah setinggi itu.

“Justeru, fokus sekarang adalah tentang data makroekonomi seperti pasaran buruh di AS, situasi perang di Ukraine dan gangguan rantaian perniagaan akibat daripada langkah penutupan di China akibat penularan wabak Covid-19,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, kenaikan yang dicatatkan Bursa Malaysia pada sesi dagangan awal gagal bertahan, menyaksikan ia mengakhiri sesi itu lebih rendah di tengah-tengah prestasi serantau yang bercampur-campur.

Pasaran turut menyaksikan kegiatan jualan yang kebanyakannya membabitkan kaunter wajaran tinggi, didahului oleh saham perkhidmatan kewangan.

Pada waktu rehat tengah hari, FBM KLCI turun 4.93 mata lebih lemah pada 1,595.50 daripada penutupan Jumaat pada 1,600.43.

Indeks utama itu dibuka 13.91 mata lebih tinggi pada 1,614.34 dan berlegar antara 1,594.10 dan 1,615.17 di sepanjang sesi dagangan pagi.

Peniaga ActivTrades, Anderson Alves berkata, pelabur kini akan mengalihkan tumpuan mereka kepada aliran data, terutamanya terhadap pasaran buruh dan inflasi, termasuk data Penyata Gaji Bukan Ladang Amerika Syarikat yang akan dikeluarkan pada hari Jumaat, dengan jangkaan gaji dan inflasi menjadi faktor kritikal untuk dipantau.

“Untuk sesi akan datang, kecairan boleh bertambah baik di tengah-tengah aliran risiko ke pasaran sedang pesat membangun apabila pasaran China dibuka semula selepas cuti Hari Pekerja. 

“Pelabur akan memantau Indeks Pengurus Pembelian Komposit dan Perkhidmatan Caixin China untuk mengukur dengan lebih baik kesan sekatan sifar Covid-19, harga yang lebih tinggi dan sekatan pergerakan baru-baru ini disebabkan lonjakan kes Covid-19 di kebanyakan wilayah.

“Mereka dijangka menilai semula pertumbuhan ekonomi global ke hadapan di tengah-tengah pertumbuhan China yang lebih perlahan,” katanya dalam satu nota kajian. 

Pada 4 petang semalam, FBM KLCI turun 22.41 mata kepada 1,578.02. Dipasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 658 berbanding 352, manakala 385 kaunter tidak berubah dan 843 kaunter tidak diniagakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN