Penginapan, perkhidmatan di pulau peranginan dijangka naik 30 peratus

Penginapan, perkhidmatan di pulau peranginan naik 30%

LANJUTAN pengecualian fi pembaharuan lesen dan lesen-lesen tambahan bagi pengusaha pelancongan bermula 30 Jun sehingga 31 Disember ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Harga penginapan dan perkhidmatan termasuk aktiviti air di pulau-pulau peranginan di negeri ini diramal meningkat sehingga 30 peratus susulan kejatuhan nilai ringgit.

Kenaikan mendadak ber­kenaan bagi menyerap kos per­belanjaan tinggi termasuk penggunaan bahan api dan barangan lain akibat ketidaktentuan mata wang negara pada masa ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik Crocodile Rock Villas dan Bistro di Pulau Perhentian, Mohd. Sabri Hamdan berkata, langkah berkongsi bebanan dengan pelanggan terpaksa diambil kalangan pengusaha sektor pelancongan demi memastikan kelangsungan perniagaan masing-masing.

Katanya, walaupun kemasukan pengunjung domestik dijangka merosot dengan peningkatan kos itu, namun lain pula situasinya bagi pelancong antarabangsa.

“Saya menjangkakan pelancong asing akan membanjiri Malaysia kerana duit kita rendah tetapi keadaan itu bergantung jika krisis mata wang ini bukan masalah global.

“Operasi di pulau peranginan bergantung kepada petrol dan diesel termasuk untuk penginapan, pengangkutan di samping aktiviti seperti snorkel, keliling pulau mahu pun selaman, jadi kita tiada pilihan selain menaikkan harga secara setimpal,” katanya di sini.

Selasa lalu, ringgit terus didagangkan rendah berban­ding dolar Amerika Syarikat, pada kadar 4.3835 se­belah pagi sebelum ditutup 4.3825, tinggi sedikit berban­ding 4.3845 hari sebelumnya.

Pemeriksaan Utusan Malaysia di laman web Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati, ia meru­pakan kadar terendah ringgit berbanding dolar dalam tempoh hampir dua tahun.

Mohd. Sabri berkata, kema­sukan ramai pengunjung antarabangsa bakal mempengaruhi mutu pelancong kerana golo­ngan yang dahulunya kurang berkemampuan dan tidak pernah ke luar negara sudah boleh berbuat demikian, jadi keputusan menaikkan harga perkhidmatan adalah tepat selaras perubahan trend itu.

Dalam perkembangan sama, katanya, situasi kejatuhan nilai ringgit berisiko menyebabkan kekurangan tenaga kerja di pulau-pulau peranginan susulan warga asing tidak lagi berminat ke Malaysia disebabkan upah yang murah.

“Tentunya pekerja dari Bangladesh, Nepal, Filipina dan Myanmar akan memilih berkhidmat di negara lain yang gajinya lebih tinggi manakala penduduk tempatan pula tidak berminat untuk bekerja di pulau kerana masalah infrastruktur termasuk bekalan elektrik dan capaian Internet kurang memuaskan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Chapter Terengganu, Suaibah Harun berkata, sektor perhotelan yang baharu pulih akibat Covid-19 kini bakal berdepan cabaran sekali lagi dengan ketidaktentuan mata wang negara termasuk bebanan kos perbelanjaan di sebalik pendapatan masing-masing yang menurun.

“Kemasukan pelancong asing dijangka meningkat, namun tidak tinggi berikutan kebimbangan mereka dengan Covid-19,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN