Pendapatan suku pertama Widad meningkat lebih 200 peratus

Pendapatan suku pertama Widad meningkat lebih 200 peratus

MOHD. RIZAL MOHD. JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Widad Group Berhad (Widad) memulakan tahun kewangan baharu 2022 (TK2022) dengan kukuh dengan mencatatkan pendapatan sebanyak RM52.04 juta dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Menurut syarikat itu, ia merupakan pendapatan tertinggi yang pernah dicapai untuk suku pertama.

Jelasnya, prestasi kukuh juga ditunjukkan pada asas kewangan syarikat, dengan keuntungan selepas cukai (PAT) yang melonjak sebanyak RM6.41 juta, hampir tujuh kali ganda dan margin PAT dua digit.

Katanya, didorong oleh pertumbuhan operasi teras yang teguh dalam ketiga-tiga segmen perniagaan, pendapatan Widad pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022 meningkat sebanyak 203 peratus tahun ke tahun (yo-y) kepada RM52.04 juta daripada RM17.22 juta pada suku tahun sebelumnya.

“Prestasi kukuh itu dicapai apabila perniagaan Kumpulan pulih daripada aktiviti perlahan disebabkan perintah kawalan pergerakan yang dialami pada awal 2021,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, Kumpulan mencatatkan PAT sebanyak RM6.41 juta pada suku pertama TK2022, melonjak hampir tujuh kali ganda daripada RM938,000 pada suku yang sama sebelumnya.

Margin PAT bagi suku dalam tinjauan juga meningkat kepada 12.3 peratus, meningkat daripada 5.4 peratus setahun sebelumnya.
“Asas Kumpulan bertambah baik dengan ketara disebabkan pembayaran balik potongan tuntutan dalam segmen Pengurusan Fasiliti Bersepadu (IFM) berjumlah RM2 juta, pendapatan kewangan bersih daripada perniagaan konsesi sebanyak RM2.8 juta dan caj daripada perbelanjaan berkaitan sukuk berjumlah RM7.2 juta,” jelasnya.

Dari segi segmen, jelas syarikat itu, perniagaan pembinaan WGB pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022 menyaksikan pendapatannya melonjak lebih 13 kali ganda tahun ke tahun kepada RM24.58 juta.

Perniagaan IFM mencatatkan hasil sebanyak RM24.91 juta, mewakili pertumbuhan 62% tahun ke tahun. Sementara itu, segmen konsesi mencatatkan pendapatan RM2.6 juta, jelasnya lagi.

“Sehingga 31 Mac 2022, buku pesanan WBG berjumlah RM1.52 bilion dan mempunyai keterlihatan pendapatan sehingga 2034. Kumpulan juga sedang giat membida tender baharu di seluruh negara, dengan saiz tempahan tender RM1.54 bilion,” katanya.

Mengulas perkembangan itu, Pengarah Urusan Widad, Datuk Dr. Mohd. Rizal Mohd. Jaafar berkata, keputusan suku pertama adalah bukti kepada strategi perniagaan yang telah disediakan.

Jelasnya, dengan unjuran pemulihan dalam aktiviti ekonomi, termasuk dalam pembinaan dan landskap IFM, Kumpulan yakin dapat meneruskan momentum pada suku tahun akan datang.

“Sebagai syarikat pembinaan tersenarai ketujuh terbesar di Malaysia pada masa ini, kami juga positif bahawa WBG mampu memenangi kontrak utama, terutamanya dengan penerusan dan pecutan projek infrastruktur utama di negara ini.

“Kami sedang meninjau untuk mengembangkan perniagaan kami melalui tender, terutamanya yang mempunyai margin yang lebih baik, dan pemerolehan perniagaan strategik yang akan mengembangkan asas pendapatan dan kepakaran teknikal kami. Semoga dengan pertumbuhan perniagaan yang teguh, WBG akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk memberi ganjaran kepada pemegang sahamnya dengan pembayaran dividen yang baik dan mampan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN