Kumpulan Public Bank catat untung sebelum cukai RM2 bilion

Kumpulan Public Bank catat untung sebelum cukai RM2 bilion bagi suku pertama 2022

public bank
Teh Hong Piow
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Public Bank mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM2.00 bilion bagi suku pertama berakhir pada 31 Mac 2022, mencatatkan pertumbuhan sebanyak 0.1 peratus berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2021.

Bagaimanapun, keuntungan bersih milik pemegang saham merosot 8.6% kepada RM1.40 bilion berbanding dengan RM1.53 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun 2021, terutamanya berikutan pengenaan cukai makmur satu kali yang diperkenalkan oleh Kerajaan pada tahun 2022.

Sektor perbankan domestik terus menghadapi cabaran ketara berikutan kesan wabak COVID-19 yang masih berleluasa. Tekanan ke bawah terhadap ekonomi diburukkan lagi dengan ketegangan geopolitik dan konflik dunia.

Pengasas, Pengerusi Emeritus, Pengarah dan Penasihat Public Bank, Tan Sri Dr. Teh Hong Piow,  berkata,  secara keseluruhannya, cabaran persekitaran operasi masih hebat.

Bagaimanapun, katanya, asas Kumpulan Public Bank yang kukuh, berserta kewaspadaan dan kepantasannya, telah membolehkan Kumpulan untuk terus mengekalkan keteguhan kewangannya.

“Pada suku pertama tahun 2022, Kumpulan Public Bank terus mengekalkan ketahanan dalam pulangan ekuiti bersihnya sebanyak 11.8 peratus dan nisbah kos kepada pendapatan yang cekap sebanyak 33.2 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada akhir bulan Mac 2022, jumlah pinjaman Kumpulan Public Bank mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 5.3% kepada RM362.7 bilion.

Pinjaman domestik berkembang kukuh pada kadar tahunan sebanyak 5.9% kepada RM339.6 bilion.

Ini terutamanya disumbangkan oleh sektor runcit, terutamanya pembiayaan bagi hartanah kediaman dan pembiayaan sewa beli.

Jumlah pinjaman yang diluluskan meningkat sebanyak 14.0 peratus pada suku pertama tahun 2022, berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2021.

Pada akhir bulan Mac 2022, Kumpulan mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju dalam hartanah kediaman, hartanah komersial dan pembiayaan sewa beli dengan bahagian pasaran masing-masing sebanyak 20.5 peratus, 34.0 peratus dan 30.4 peratus.

Dari segi pendanaan, jumlah deposit pelanggan Kumpulan mencatat pertumbuhan tahunan sebanyak 4.6 peratus kepada RM384.8 bilion.

Deposit domestik berkembang pada kadar yang  sama dengan kadar tahunan sebanyak 4.6% kepada RM356.7 bilion.

“Pertumbuhan pembiayaan Kumpulan Public Bank disokong kukuh oleh struktur pendanaan yang baik seperti yang ditunjukkan dalam nisbah pinjaman kepada dana dan ekuiti kasarnya sebanyak 80.7 peratus, pada akhir bulan
Mac 2022,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN